Bebas Bukan Saingan PAS

KOTA BHARU – PAS menang dengan majoriti bertambah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri(DUN) Chempaka semalam kerana tiada saingan dari parti besar seperti Barisan Nasional (BN), kata Mohamad Sabu.

Timbalan Presiden PAS itu menyifatkan kemenangan tersebut menunjukkan sokongan berterusan pengundi kepada parti Islam itu.

“Walaupun Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) sudah tiada namun sokongan pengundi terhadap PAS tidak berubah.

“Dan PAS bersyukur kerana mendapat majoriti yang lebih besar,” katanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menguasai DUN tersebut selama tujuh penggal berturut-turut.

PRK DUN Chempaka semalam menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood@Mahamad mengalahkan empat calon bebas, dengan majoriti 10,092 undi.

Empat calon bebas terbabit hilang wang pertaruhan.

Sementara itu, Ahmad Fathan berkata beliau tidak menjangka mendapat kemenangan dengan majoriti yang besar.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah swt, doakan saya dapat menjalankan tugas sebaik mungkin untuk rakyat,” katanya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan kemenangan itu sebagai kejayaan besar bagi parti tersebut.