Bukti Rakyat Kelantan Sokong Hudud

KOTA BHARU – Kemenangan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka membuktikan rakyat Kelantan berdiri teguh di belakang parti itu yang kini dikatakan berjuang bersendirian dalam usaha untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ia menjadi merupakan suntikan moral rakyat terhadap kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan hukum hudud yang menjadi antara legasi bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dapat direalisasikan.

“Beberapa hari lalu kita luluskan pindaan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah namun ada pihak pertikai, kata macam-macam, kata kita tergesa-gesa sedangkan ini adalah perkara yang selalu ditekankan Allahyarham Tuan Guru (Nik Aziz) sejak sekian lama.

“Hudud ini asasnya dimulakan oleh Tok Guru, bukan kita sendiri yang pandai-pandai. Allahyarham sudah berkali-kali pesan kepada saya supaya meneruskan apa yang dibawa beliau ini sehingga berjaya.

“Oleh sebab itu kemenangan ini menjadi dorongan dan lonjakan semangat untuk PAS terus mendaulatkan Islam kerana cita-cita kita bukan mahu ke Putrajaya semata-mata, tetapi membawa Islam bersama. Itu lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa meraikan kemenangan calon PAS, Ahmad Fathan Mahmood dalam PRK DUN Chempaka di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa, di sini.

PRK DUN Chempaka yang melibatkan pertandingan lima penjuru menyaksikan Ahmad Fathan menewaskan empat calon bebas iaitu Sharif Mahmood, Izat Bukhary Ismail Bukhary, Fadzillah Husin dan Aslah Mamat dengan majoriti 10,092 undi.

Ahmad Fathan memperoleh 10,899 undi manakala Sharif (807 undi), Izat Bukhary (51 undi), Fadzillah (89 undi) serta Aslah (27 undi).