Kerajaan Pusat Naik Taraf Lebih 10 Masjid Di Tanah Merah

TANAH MERAH – Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan untuk membaikpulih dan menaiktaraf lebih daripada 10 buah masjid di kawasan parlimen Tanah Merah.

Ahli parlimennya, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, peruntukan itu membabitkan jumlah sebanyak RM50,000 hingga RM300,000 dan ia akan disalurkan kepada masjid-masjid terbabit.

“Terima kasih kepada Kerajaan pusat yang amat prihatin terhadap keperluan rakyat dengan membantu menyalurkan peruntukan kepada masjid yang memerlukan.

“Kebanyakkan masjid-masjid di parlimen ini mengalami kerosakan dan terjejas memandangkan kawasan ini adalah antara yang paling teruk dilanda banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di Masjid Bechah Laut, yang memerlukan penambahbaikan di sini malam tadi.

Sempena tinjauan itu sebanyak RM100,000 peruntukan diluluskan untuk kerja-kerja gotong royong bagi menaik taraf masjid berkenaan.

Ikmal Hisham berkata, setiap peruntukan yang disalurkan akan digunakan untuk meningkatkan infrastruktur dan kemudahan kepada para jemaah.

“Menerusi peruntukan ini, kita akan menambah beberapa kemudahan bagi memberi keselesaan kepada para jemaah.

“Segala kerja-kerja menaiktaraf dan membaikpulih masjid-masjid ini akan dilaksanakan secara gotong-royong,” katanya.