Kit Siang Main Politik Dalam Isu Hudud – Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Penasihat parti DAP, Lim Kit Siang cuba mengalih pandangan orang ramai dengan cuba ‘memancing’ wakil rakyat Barisan Nasional (BN) selepas gagal menghalang sekutunya PAS dalam isu pelaksanaan hudud.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, DAP seolah-olah terdesak apabila PAS tidak mempedulikan bantahan mereka (pakatan pembangkang) untuk meneruskan agenda pelaksanaan hukum Islam itu di Kelantan.

“Kita nak tahu apa agenda Kit Siang, beliau ada semua agenda. Kalau untuk pembangunan negara, kita memang terbuka dengan semua pihak untuk bekerjasama.

“Tapi kita sangsi dengan agenda Kit Siang. Beliau sebenarnya cuba alihkan perhatian terhadap kegagalannya menghalang PAS, dia main politik dalam isu hudud,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, Isnin.

Beliau mengulas saranan Kit Siang berhubung cadangannya untuk membentuk pakatan baharu melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Menurut Kit Siang, kemelut BN dan pakatan pembangkang semakin meruncing dan langkah untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan hudud di Kelantan oleh PAS akan menimbulkan krisis Perlembagaan khususnya jika UMNO menyokong enakmen berkenaan.

Mengulas lanjut, Tiong Lai yang juga Menteri Pengangkutan berkata, DAP perlu bertanggungjawab terhadap kegagalannya menghalang PAS meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) Pindaan 2015.

“Kit Siang tahu sejak awal bahawa PAS akan laksanakan hudud. Tapi sekarang jelaslah bahawa dia gagal halang, sebab itu dia cuba main politik dengan isu hudud.

“Kita mahu rakyat tahu bahawa Kit Siang perlu bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.