Nafisah Redha, Air Matanya Sudah Kering

BACHOK – ‘Sudah jatuh ditimpa tangga’ demikian luahan seorang suri rumah, Nafisah Ibrahim, 57, yang terpaksa menanggung tiga daripada 14 ahli keluarganya yang sakit.

Nafisah kini terpaksa menguruskan ibunya, Sepiah Ibrahim, 81; suami, Mohamad Nik Bedillah,59 dan anaknya, Mohd Hafiz Mohamad, 22 yang menghidap penyakit misteri di Kampung Mak Lipah di sini.

“Saya sudah buntu memikirkan nasib yang menimpa ahli keluarga sehinggakan sudah kering air mata.

“Sebelum ini,tanggungjawab menjaga ibu dan anak dipikul bersama suami, namun sejak suami mengalami penyakit kulit dan ditimpa malang pada 13 November lalu, semua kerja terpaksa dilakukan sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Nafisah redha walaupun terpaksa berpenat lelah melaksanakan tugas menguruskan mereka sendiri.

“Sebelum ditimpa malang, suami saya melakukan pelbagai kerja dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan, namun penyakit kulit yang dihadapi menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

“Lebih menyedihkan, bulan November lalu, dia patah kaki kanan sehingga terpaksa bertongkat,” katanya.

Nafisah juga memberitahu, anaknya terpaksa dirantai apabila sering bertindak agresif sejak suaminya tidak dapat berjalan.

“Sudah dua kali anak saya mahu terjun dalam telaga. Saya sudah mencuba rawatan tradisional tetapi masih tidak sembuh.

“Saya juga sudah cuba mendapatkan rawatan di hospital namun doktor mengesahkan dia tidak mempunyai penyakit mental,” katanya yang memberitahu sudah dua tahun penyakit misteri menyerang anaknya.

Katanya, dia kini hanya mengharapkan duit anak-anak yang lain bagi membeli keperluan dan makan minum mereka.

Bagaimanapun nasib Nafisah sekeluarga mendapat pembelaan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Mohd Radzuan Hamat.

Mohd. Radzuan telah mengunjungi rumah keluarga itu dan menyampaikan bantuan awal untuk membantu mereka.

Beliau berkata, keluarga berkenaan perlu dibantu apatah lagi mempunyai tiga ahli keluarga yang sakit.

“Saya berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh membantu keluarga malang ini dan saya akan cuba membantu untuk memastikan nasib mereka terbelas selepas ini,” ujarnya.