PM Ucap Takziah Kepada Keluarga Kuan Yew

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong atas kematian bapanya, Perdana Menteri pengasas Singapura Lee Kuan Yew, awal hari ini.

Melalui laman facebooknya hari ini, Najib menyifatkan pencapaian Kuan Yew sebagai hebat dan legasinya terjamin.

Berikut catatan penuh Perdana Menteri dalam akaun facebooknya:

“Saya benar-benar sedih apabila mendengar mengenai kehilangan bapa anda. Ingatan dan doa saya bersama anda dan keluarga anda.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, takziah yang tidak terhingga kepada rakyat Singapura.

“Pencapaian Perdana Menteri pengasas Tuan Lee Kuan Yew adalah besar dan legasinya adalah terjamin.

Kuan Yew meninggal dunia pada 3.18 pagi di Hospital Besar Singapura.

Beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi hospital itu pada 5 Februari kerana radang paru-paru.

kuan Yew berusia 91 tahun.

Perdana Menteri Hsien Loong mengisytiharkan tempoh berkabung negara mulai hari ini hingga Ahad.