PRK DUN Chempaka Perintis Fenomena Politik Baharu

KOTA BHARU – Selain keperibadian calon, gelombang penerimaan hukum hudud yang kebetulan dibentang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka antara faktor penyumbang kemenangan besar parti itu.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, personaliti Ahmad Fathan Mahmood yang berlatar belakangkan ulama dilihat mampu untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Sepertimana dinyatakan oleh kebanyakan penceramah PAS, PRK DUN Cempaka ini adalah satu referendum ke atas hukum tersebut dan ternyata rakyat Kelantan, tanpa mengira pegangan politik mereka, memberikan satu endorsement padu ke atasnya.

“Sokongan padu semua golongan ini pula tentunya dipengaruhi oleh tindakan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dari UMNO untuk turut menyokongnya.

“Sekaligus membuktikan kenyataan pemimpin DAP sebelum ini bahawa hukum hudud tidak mampu untuk menambahkan sokongan pengundi kepada PAS adalah jelas tidak betul,” katanya kepada Sokmo.net di sini hari ini.

Ahmad Fathan semalam sah menjadi wakil rakyat baharu bagi DUN Chempaka selepas mencatatkan kemenangan besar dengan majoriti 10,092 undi untuk menewaskan empat calon bebas yang turut kehilangan deposit.

Kamarul Zaman berkata, pujian harus diberikan kepada pemimpin dan ahli UMNO, sama ada di peringkat DUN, Bahagian atau Negeri, kerana bersikap ‘gentleman’ dengan benar-benar menghormati keputusan dan arahan pimpinan tertinggi mereka dengan tetap tidak mensabotaj calon PAS walaupun setelah menerima provokasi dari sebahagian pemimpin PAS sendiri.

Katanya, sepanjang pengamatannya terhadap kempen PAS, didapati bahawa sebahagian pemimpin PAS masih menyerang hebat UMNO walaupun parti itu tidak meletakkan calon di dalam PRK DUN Chempaka ini.

“Ekoran itu, saya menjangkakan sebahagian ahli UMNO akan mengundi calon bebas bagi menzahirkan ketidaksenangan mereka ke atas corak kempen sebahagian pemimpin PAS ini.

“Bagaimanapun ini kelihatan tidak berlaku, malah Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamad, sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa ahli UMNO boleh mengundi mana-mana calon sahaja, termasuk calon PAS yang selama ini menjadi seteru utama UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berharap keputusan PRK Chempaka ini akan memberikan isyarat yang jelas kepada semua pihak, termasuk juga UMNO, untuk terus menyokong perlaksanaan hukum ini bila rang undang-undang persendirian mengenainya dibawa ke Parlimen nanti.

“Yang turut menarik perhatian saya ialah pengakuan dan ucapan terima kasih Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, mengenai fenomena ahli UMNO mengundi calon PAS di dalam PRK DUN Cempaka ini.

“Bagi saya, ia merupakan satu fenomena baru yang menggambarkan satu tahap berpolitik baharu yang lebih matang di dalam bukan sahaja politik Kelantan tetapi juga politik Malaysia,” katanya.