Speaker Tentukan Pembentangan Rang Undang-undang Persendirian Hudud Kelantan

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat akan menentukan sama ada Rang Undang-Undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di Kelantan boleh dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim berkata, persidangan yang berlangsung sekarang ini telah padat dengan rang undang undang yang perlu didahulukan.

“Bergantung kepada (keputusan) Speaker sama ada rang undang-undang persendirian ini akan dipertimbangkan untuk dibahaskan atau tidak.

“Apa yang paling penting ialah kami mempunyai banyak rang undang-undang kerajaan yang lain yang kami kena dahulukan seperti isu dadah dan jenayah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata proses notis usul rang undang-undang persendirian mengambil masa 14 hari selepas tarikh diterima sebelum Speaker membuat keputusan untuk menerima atau menolak usul tersebut.

“Notis usul persendirian adalah 14 hari dari tarikh diterima termasuk Sabtu dan Ahad, kecuali usul penting seperti usul kerajaan mungkin lebih cepat iaitu dua atau tiga hari.

“Ia juga tertakluk pada keadaan di mana perlu mengambil kira usul yang diterima oleh dewan, jika ada banyak usul kerajaan ia harus didahulukan,” katanya.

Khamis lepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan secara sebulat suara meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).