Bakal Menghampakan BN?

KUALA LUMPUR – Mesyuarat kepimpinan DAP yang berlangsung selama empat jam malam tadi dikatakan bakal menghampakan Barisan Nasional (BN).

Mesyuarat tersebut dipercayai membincangkan hala tuju mereka dalam pakatan pembangkang setelah beberapa isu menimbulkan konflik politik terutamanya berkaitan isu hudud.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, pengumuman keputusan mesyuarat itu akan menghampakan Barisan Nasional (BN).

“Tunggu esok, kita akan umumkan menerusi kenyataan media pada awal pagi.

“Keputusan yang dicapai akan menguntungkan semua pihak. Hanya BN akan hampa dengan keputusan ini,” katanya ditemui pemberita di Ibu Pejabat DAP di sini, malam tadi.

Pencapaian hasil mesyuarat tersebut menjadi teka-teki apabila Ahli Parlimen Seremban itu mengambil sikap mengunci mulut daripada menjawab sama ada DAP akan terus berada dalam pakatan pembangkang atau sebaliknya.

Sementara itu Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mengakui kepimpinan DAP berhadapan kesukaran dalam membuat keputusan.

“Kita fikirkan apa akan jadi kalau keluar pakatan, kalau kita pilih untuk terus berada (dalam pakatan), apa kesannya kepada pakatan serta DAP.

“Banyak perkara dari pelbagai sudut kita fikirkan. Kita bincangkan pelbagai kemungkinan,” katanya.