Menyingkap Sejarah Asal-usul Nama Negeri-negeri Di Malaysia Dari Naskah Zakiah Hanum

Datuk Zakiah Hanum Abd. Hamid adalah sebuah nama besar dalam bidang Arkib. Bahkan namanya cukup sinonim dengan Jabatan Arkib Negara biarpun hampir 20 tahun telah bersara dari jabatan itu.

Apa tidaknya, di situlah kerjaya awal dan akhir beliau. Bermula dengan Penolong Penyimpan Arkib di Arkib Negara (1961) diikuti Ketua Bahagian Arkib (1961-1970); Timbalan Pengarah Arkib Negara (1970-1977); Pemangku Pengarah Arkib Negara (1977-1980) kemudian Ketua Pengarah Arkib Negara (1980-1995).

Anak kelahiran Alor Star, Kedah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan pengkhususan dalam bidang Pengajian Melayu itu antara wanita pertama menempa sejarah mengetuai sebuah Jabatan Persekutuan.

Sebagai pakar dalam bidang Arkib, Zakiah Hanum menumpukan sepenuh tenaga, daya usaha dan kreativiti untuk memajukan Arkib Negara setanding dengan institusi luar negara.250px-Zakiah_Hanum_Abdul_Hamid

Rancangan RTM ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ yang diterbitkan pada tahun 1980 merupakan antara perancangan yang terhasil daripada cetusan ideanya.

Bagi melengkapkan maklumat mengenai setiap sudut sejarah tanah air, beliau mengilhamkan ‘Pengkisahan Sejarah’yang merangkumi Sejarah Pentadbiran Malaysia, Wanita Dalam Sejarah Malaysia, Sejarah Angkatan Tentera dan peristiwa penting sejarah tanahair.

Dengan kegigihan beliau itu Arkib Negara Malaysia telah menjadi perintis kepada Pengkisahan Sejarah diperingkat antarabangsa.

Terbentuknya Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tunku Abdul Rahman, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Melaka juga adalah hasil ilham beliau untuk mengingati, mendokumentasikan serta mempamerkan kepada umum sumbangan tokoh dan pemimpin negara.

Biarpun pakar dalam bidang Arkib namun, nama Zakiah Hanum tidak asing dengan dunia penulisan. Banyak buku-buku yang dihasilkan beliau antaranya – (sekadar menyebut beberapa judul) – Sembang Mak Alang (1986), Tercabarnya Maruah Bangsa (1987), Tradisi dan Budaya (1987), Asal-usul Negeri-negeri Di Malaysia (1989) dan pelbagai judul lagi yang sesuai dijadikan bahan bacaan serta rujukan umum.

Penulis cuba menyelungsuri karyanya, ‘Asal-usul Negeri-negeri Di Malaysia’. Pendedahannya amat menarik tetapi, barangkali jarang yang mengetahuinya.

Justeru, mungkin ada baiknya jika intipati dari naskah tersebut yang menceritakan sejarah asal-usul negeri di negara ini dikongsi bersama. Sekurang-kurangnya sejarah yang telah mencipta satu nama atau objek itu tidak lenyap ditelan zaman.

1) JOHOR

Nama silam Johor adalah “Ujung Tanah”, sementara R.O Winstead dalam penulisannya pernah merujuk negeri Johor dengan nama “Wurawari”, ianya adalah istilah jawa yang bermaksud “Air Jernih”.

Antara nama lama yang merujuk kepada negeri Johor ialah, “Hujung Medini” (disebut dalam syair Jawa Nagara kertagama), Ganggayu (nama Johor sebelum 1450) dan Langyu.
Namun ia lebih kuat dipercayai berasal dari perkataan arab iaitu “Jauhar” yang membawa maksud “Permata”.

2) KEDAH

Kedah mengikut catatan ramai sejarawan adalah negeri tertua di Tanah Melayu berdasarkan penemuan arkeologi tentang kewujudan penempatan serta aktiviti masyarakat Melayu Proto.

Nama kedah mengikut rujukan catatan arab dan parsi ialah “Kilah”, “Kalah” atau “Qalha”. Dalam tulisan sanskrit Kedah dicatatkan sebagai “Kataha” atau “Kadara”, sementara dalam naskah tamil ianya dikenali sebagai “Kadaram” atau “Kalaram”.

Tetapi menurut Wilkinson, nama negeri ini berasal dari perkataan “Kheddah” yang membawa erti perangkap Gajah, tetapi ada juga yang mengatakan Kedah adalah bermaksud “Gelas berkaki” dalam bahasa arab, ianya bersempena dengan perniagaan pedagang Arab yang menjual gelas berkaki pada masa itu.

3) KELANTAN

Mula muncul dalam catatan Ptolemy yang merujuk negeri ini sebagai Kalantan. Dikisahkan nama Kelantan diperkenalkan oleh orang India Utara yang berasal dari Bandar Koli, tempat kelahiran bonda kepada Gautama Buddha. Nama Koli kemudian digabungkan dengan perkataan “Thana” yang bermaksuh Tanah, lalu jadilah “Kolithana” yang kemudiannya disebut oleh penduduk pada ketika itu sebagai “Kolamtanah” atau “Kolamtam” yang akhirnya menjadi Kelantan.

Catatan dalam ensiklopedia Ma Tuan-Lin ada menyebut tempat ini sebagai “Ko-lo”. Dalam catatan China yang selainnya ada dikesan nama sepertu “Ho-lan-tan” atau “Kou-lo-tan”.
Sementara dalam peta De’eredia, wujud nama “Calantan Rio”, sementara peta selainnya disebut “Calantan”, “Calantam” dan “Calantao”.

Terdapat juga kisah bahawa nama Kelantan itu adalah bersempena dengan nama pokok “Gelam Hutan” yang tumbuh di pesisir pantai negeri Kelantan pada ketika itu.

4) MELAKA

Selain dari kisah Parameswara yang menyaksikan seekor pelanduk menendang anjing hingga jatuh ke sungai dan Pokok Melaka tempat beliau bersandar ketika itu, terdapat teori lain bagaimana Melaka mendapat namanya.

Dalam naskah lama “Sejarah Melayu” memang sudah disebut nama Melaka, ia mugkin dari istilah “Malakat” atau “Mulagah” yang digunakan oleh pedagang Arab yang membawa maksud “pusat / tempat perdagangan “.

Dalam bahasa sanskrit, Melaka mungkin dirujuk sebagai “Malayakolam” atau “Malayaka” yang membawa erti “negeri orang Melayu”.

5) NEGERI SEMBILAN

Nama negeri ini bersempena sembilan negeri yang berada dibawah gabungannya, kawasan berkenaan ialah;

1) Sungai Ujong
2) Naning
3) Rembau
4) Jelebu
5) Johol
6) Klang
7) Jelai
8) Ulu Pahang
9) Segamat

Negeri Sembilan kemudiannya menyerahkan Klang kepada Selangor, Ulu Pahang dan Jelai kepada Pahang dan Segamat kepada Johor. Rombakan kawasan kemudianya menyenaraikan sembilan kawasan berikut sebagai negeri yang sembilan, iaitu:

1) Sungai Ujong
2) Rembau
3) Jelebu
4) Johol
5) Ulu Muar
6) Inas
7) Gunung Pasir
8) Terachi
9) Jempol

6) PAHANG

Nama klasik bagi negeri ini ialah Inderapura. Nama Pahang telah ada sebelum adanya negeri Melaka yang dikenali sebagai Pahang Tua.

Tiada kisah yang jelas bagaimana Pahang mendapat namanya, namun dalam bahasa Khmer, Pahang itu bermaksud “timah” yang mungkin juga ada kena mengena dengan Sungai Lembing yang terkenal dengan timah.

7) PERAK

Sepertimana Pahang, Perak juga mempunyai nama klasiknya yang tersendiri, iaitu Gangga Negara, pusat pemerintahan Gangga Negara ialah di Beruas. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, nama Perak diberi bersempena dengan anak panah bermata perak yang dilepaskan oleh anak Raja Merong Mahapodisat Kedah. Anak panah itu dilepaskan ke kawasan yang dihajati beliau untuk dijadikan sebuah negeri.

8) PERLIS

Perlis dahulunya dikenali sebagai “kayang” atau “kayangan”, dan nama Perlis diberi bersempena dengan nama seorang tua yang dianggap mempunyai keramat, iaitu “Tok Perlis”.

Ada juga versi lain bagaimana Perlis mendapat nama, berkemungkinan ianya berasal dari perkataan siam “Phrau Loi” yang bermaksud kelapa hanyut.

Kelapa hanyut ini dikatakan banyak dijumpai oleh orang-orang Siam yang menggunakan laluan kuala sungai Perlis untuk ke Kedah. Sebutan “Phrau Loi” ini bila disebut oleh masyarakat tempatan akhirnya menjadi “Perleh”.

9) PULAU PINANG

Ianya berasal dari barisan pokok-pokok pinang di kawasan penempatan masyarakat asal melayu di kawasan pantai. Pulau Pinang pernah diberi nama “Prince of Wales” oleh Francis Light pada 11 Ogos 1786, tetapi nama itu tidak lekat dan hanya wujud dalam catatan peta Inggeris, tetapi tidak di bibir penduduk tempatan.

10) SABAH

Pernah dikenali dengan nama “Api-api”. Sabah mendapat namanya daripada perkataan “Saba”, iaitu sejenis pisang. Kebanyakkan penduduk asal menanam pisang ini di penempatan mereka di sekitar pantai untuk dijadikan sumber makanan.

11) SARAWAK

Tiada kisah yang cukup popular untuk dijadikan sandaran bagaimana Sarawak mendapat nama, mungkin juga bersempena dengan nama Sungai Sarawak. Terdapat sumber dikalangan penduduk tempatan yang mengkisahkan nama Sarawak berasal dari ungkapan “serah pada awak”, iaitu apabila Pengiran Muda Hashim menyerahkan pentadbiran negeri itu kepada James Brooke pada tahun 1841.

12) SELANGOR

Tiada sumber jelas bagaimana Selangor mendapat namanya.

13) TERENGGANU

Dipercayai berasal dari cahaya kilat yang dilihat oleh penduduk Kelantan, lalu mereka berkata “terangnya genu” atau maksud lainnya “terang sampai ke sana”.

Terdapat juga kisah yang mengatakan nama Terengganu berasal dari kisah penemuan taring gajah di sebatang sungai di Pulau Duyong, dek kerana saiz taring yang besar serta belum pernah dilihat oleh penduduk tempatan, mereka merujuk taring itu sebagai “Taring anu”, sungai dimana taring tersebut dijumpai juga dikenali sebagai “Sungai Taring Anu”.

Walaupun perkongsian ini tidak dilakar secara terperinci namun, setidak-tidaknya intipati ringkas yang diadaptasi dari naskah karya Zakiah Hanum ini mampu mendedahkan sedikit pengetahuan kepada umum khususnya generasi yang akan datang tentang sebuah sejarah yang barangkali tidak pernah kita teroka atau temui.

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net. Sebarang pandangan/artikel balas boleh dihantar ke admin@sokmo.net. Terima kasih.