Baik Buruk Orang Melayu Dari Kaca Mata Frank Swettenham

Frank Athelstane Swettenham

Frank Athelstane Swettenham atau Frank Swettenham melakar sejarah peribadinya yang tersendiri dalam dunia penulisan apabila mampu menghasilkan naskah membicarakan tentang perihal orang Melayu di negara Malaysia.

Apa tidaknya, kerana dia adalah orang asing, anak kelahiran England dan berbangsa Inggeris.

Naskah tersebut diberi judul ‘Malay Sketches’ yang terhasil lewat pengamatannya setelah lebih 20 tahun berada di negara ini, itu dihasilkan pada tahun 1895 dan menjadi tatapan pembaca sehingga kini.

Frank Swettenham merupakan Residen Jeneral pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1896 hingga 1901 pernah menghasilkan kamus ‘Vocabulary of the English and Malay language’.

Biarpun pendedahannya agak ringkas dan mendatar tetapi ‘Malay Sketches’ pada amnya sedikit sebanyak mencerminkan pemikiran, pandangan, perasaan, cara hidup serta amalan harian orang Melayu ratusan tahun lalu.15131063779

Secara tidak langsung ia menjadi pendorong kepada pembaca untuk menilai dan membandingkan perbezaan pemikiran atau kebiasaan masyarakat Melayu di zaman lampau dan mutakhir ini.

Terlebih dahulu wajar difahamkan bahawa apa yang digambarkan oleh Swettenham menerusi karyanya itu adalah terhad kepada penilaian peribadi beliau dan ia hanya berkisar dengan masyarakat sekitar Singapura, Selangor dan Perak.

Menurut Swettenham untuk memahami orang Melayu seseorang itu perlu tinggal di Tanah Melayu, bertutur bahasa Melayu, hormat adat dan budaya orang Melayu, meminati apa yang diminati oleh orang Melayu, tahu gurau senda orang Melayu, sedia membantu mereka semasa dalam kesusahan serta berkongsi suka dan duka mereka.

Prakata buku 'Malay Sketches' hasul tulisan Frank Swettenham yang turut menunjukkan tahun buku itu dihasilkan
Prakata buku ‘Malay Sketches’ hasul tulisan Frank Swettenham yang turut menunjukkan tahun buku itu dihasilkan

“Jika semua ini berjaya diselami nescaya seseorang itu telah berjaya memenangi hati serta kepercayaan dari orang Melayu,” katanya.

Memulakan pembicaraan karyanya itu beliau mencatatkan orang Melayu mempunyai susuk badan yang rendah tetapi sasa, berambut hitam lurus dengan kulit sawo matang serta berhidung kembang dengan bibir yang tebal. Orang Melayu juga digambarkan mempunyai mata yang terang.

Dari segi keperibadiannya pula orang Melayu pada amnya bersopan santun, beradab serta peramah. Namun orang Melayu tidak mudah untuk mempercayai orang asing, malah bijak menyembunyikan kesangsian mereka dengan perawakan yang ramah.

Orang Melayu mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah demi menentang fitnah tersebut.

Bab pertama 'Malay Sketshes' tulisan Frank Swettenham
Bab pertama ‘Malay Sketshes’ tulisan Frank Swettenham

Swettenham turut menyebut tentang sikap orang Melayu yang memuliakan tetamu, ianya seakan satu kewajipan bagi mereka tanpa mengira darjat sama ada tinggi atau rendah, kaya atau miskin.

Katanya, orang Melayu bijak berbicara, susun katanya bersulam dengan jenaka selain gemar berseloroh. Mereka sangat cermat dan ‘terang hati’ dalam menerima pelajaran. Jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang Melayu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih daripada apa yang pelajari.

Dalam menjaga kebersihan diri, kebanyakkan orang Melayu pada zaman itu mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas.

Mempunyai bakat bersukan, malah binatang sebesar gajah pun bisa ditangkap dan dijinakkan. Sebagai nelayan pula, orang Melayu sangat berkemahiran sehingga sanggup bermalam di atas bot dan ia menjadi kelaziman bagi mereka.

Naskah
Naskah “Malay Sketches” yang telah didigitasi oleh University of California

Swettenham menyelami amalan hidup beragama dalam kalangan masyarakat tersebut dengan menulis, orang Melayu adalah muslim yang taat, sanggup diseksa demi mempertahankan kesucian agama Islam.

Mereka tidak terlalu taksub dalam beragama dan tidak meminum minuman yang memabukkan serta jarang terlibat dengan aktiviti menghisap ganja, walaupun perbuatan menghisap ganja adalah menjadi suatu kebiasaan pada masa itu.

Bahkan beliau mengakui, ketaatan orang Melayu pada zaman itu dalam beragama menyebabkan kebanyakkan mubaligh kristian gagal dalam usahanya untuk mengkristiankan kaum tersebut.

Dalam soal semangat patriotisme, orang Melayu katanya, amat sayangkan negeri dan bangsa dengan memelihara adat dan budaya mereka.

Maka tidak hairanlah jika ada pepatah Melayu berkata “Biar mati anak, jangan mati adat”.

Swettenham juga membayangkan keperibadian perempuan Melayu sebagai bijak bertutur, pandai mengambil hati serta kuat berahsia.

Katanya, wanita melayu juga peramah, walaupun adakalanya kuat cemburu. Tatkala mencapai usia 40 tahun, mereka mula memperlihatkan kecenderungan meminati barangan kemas dan pakaian yang cantik. Begitu juga dengan Wanita Melayu dewasa mempunyai citarasa atau minat pada barangan mewah seperti kenderaan (khusunya Kuda).

Dalam hal berumahtangga beliau melihat lelaki Melayu sering menggunakan kemampuan mereka dari segi kekayaan mahupun kekuasaan sebagai alasan untuk berkahwin lebih dari seorang.

Walau bagaimanapun, setelah mereka berkahwin empat, lelaki Melayu sering gagal menunaikan tanggungjawab ke atas para isteri dengan seadilnya biarpun mereka sangat bijak berfalsafah dalam soal rumahtangga.

Swettenham tidak mengambil sikap populis dengan hanya menceritakan kebaikan orang Melayu menerusi karyanya itu sebaliknya, beliau turut menyingkap sisi gelap masyarakat tersebut pada zaman itu.

Beliau melakarkan 13 antara tabiat atau sifat buruk orang Melayu yang ditemuinya pada zaman itu, iaitu;

1) Orang Melayu suka meminjam wang, tetapi liat atau sukar untuk membayar balik.

2) Suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga dan mengumpat.

3) Suka mempercayai hal yang karut marut.

4) Suka berjudi, bersabung ayam dan yang seumpamanya.

5) Tidak mudah menerima sebarang perubahan.

6) Orang Melayu adakalanya malas, malah perkara yang rutin juga dilalaikan.

7) Orang Melayu tidak menghargai masa.

8) Rumah Orang Melayu pada zaman itu dilihat tidak kemas malah kotor.

9) Orang Melayu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.

10) Orang Melayu suka mengamok.

11) Walaupun orang Melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan.

12) Orang Melayu suka berpuak-puak.

13) Orang Melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal perkahwinan.

Sungguhpun sikap buruk yang digambarkan Swettenham itu agak sensitif untuk dibaca namun ianya sarat dengan pengajaran dalam membina sahsiah ummah ke arah lebih bertamadun.

Selain ‘Malay Sketches’, Swettenham juga menghasilkan beberapa karya lain yang turut menceritakan perihal orang Melayu dan sesuai untuk tatapan umum biarpun selang masanya berbeza ratusan tahun.

Selain Residen Jeneral pertama Negeri-Negeri Melayu, Frank swettenham yang lulus dalam peperiksaan akhir pengajian Melayu pada Julai 1872 pernah bertugas antaranya sebagai Pemungut Hasil Tanah bagi Pulau Pinang dan Seberang Perai, Duta khas negeri Perak, Penolong Residen Negeri Perak dan Residen Inggeris di Selangor. – 29 April 2015

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sokmo.net.