Kerajaan Pahang Bincang Cuti Umum PRK Rompin

Kerajaan negeri Pahang akan mempertimbangkan cadangan untuk mengisytiharkan cuti umum negeri pada hari Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin Selasa depan bagi menggalakkan pemilih keluar mengundi dengan selesa.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri, hari ini.

“Kita akan adakan mesyuarat exco bagi memutuskan sama ada memberi cuti atau tidak. Kita memang fikirkan pelepasan cuti am ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Pahang di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Rompin di sini, semalam.

Mengenai perjalanan kempen PRK itu, Adnan berkata, kempen yang memasuki hari ketujuh berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dicetuskan oleh kedua-dua parti yang bertanding.

“Ini adalah kerana nilai sosio-budaya masyarakat Rompin ini berbeza. Mereka adalah masyarakat yang cintakan keamanan, bukan kasar. Jadi kempen pun dijalankan dengan cara sederhana.

“Setakat ini, Barisan Nasional (BN) dan parti PAS tertumpu kepada kempen rumah ke rumah,” katanya.

Selain itu katanya, jentera BN menggunakan tempoh berkempen untuk menjelas atau menerangkan isu-isu hangat yang dibangkitkan termasuk isu perumahan generasi kedua masyarakat Felda dan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengulas mengenai sokongan masyarakat Cina terhadap BN, beliau berkata, kaum tersebut menunjukkan reaksi positif terhadap kerajaan.

Parlimen Rompin mempunyai 1,352 pengundi Cina atau tiga peratus daripada 53,294 pengundi.

PRK Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon PAS, Nazri Ahmad dan ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. – 29 April 2015