Pemuda PAS Buat ‘Pusingan U’, Kembali Sokong Bantu Kemenangan Sekutunya Yang Tolak Hudud

Pemuda PAS Pulau Pinang tidak mampu mempertahankan pendiriannya apabila akhirnya terpaksa membuat ‘pusingan U’ dalam konflik PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Permatang Pauh.

Mereka terpaksa akur dengan arahan PAS Pusat untuk membantu parti sekutunya itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Dalam sidang akhbar hari ini Ketuanya, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, pihaknya sebulat suara akur dengan arahan PAS Pusat bagi membantu gerak kerja PRK Permatang Pauh.

Sebelum ini sayap parti Islam itu dengan keras bertegas tidak akan menyokong atau memberi kerjasama untuk membantu PKR dalam pilihan raya berkenaan.

Tindakan itu diambil berikutan PKR menolak pelaksanaan hukum hudud di Kelantan selain Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meninggalkan parti itu kerana dilihat menjadi liabiliti kepada usaha mengukuhkan pakatan pembangkang menerusi tindak-tanduk yang ‘mesra UMNO’.

Pemuda PAS menyifatkan desakan tersebut sebagai satu penghinaan kepada parti Islam itu.

Menjawab soalan tidak mempertahankan pendirian tegasnya sebelum ini beliau berkata, keputusan terbaharu itu dibuat kerana tidak mahu kerusi Parlimen Permatang Pauh jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

“Kita membuat keputusan supaya kerusi ini harus dipertahankan dan kekal milik Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam konflik yang berlarutan itu, Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Permatang Pauh, Badrul Abdul Rahman menegaskan, mengundi calon yang menolak pelaksanaan hukum hudud merupakan sesuatu yang haram dan berdosa memandangkan Islam mencakupi seluruh perkara dalam kehidupan termasuk dalam soal politik dan memilih pemimpin.

Mohd. Yusni menafikan wujudnya desakan daripada pihak tertentu dalam PAS yang tidak senang dengan pendirian keras Pemuda PAS Pulau Pinang.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan Pemuda PAS kini tunduk kepada DAP dan PKR walaupun dua sekutu mereka menolak hudud dengan berkata “Kita tak tunduk dan kita masih dengan pendirian sebelum ini namun pada masa sama kita tak mahu Permatang Pauh terlepas dari tangan pakatan”.

Selain itu, Mohd Yusni mengakui pergolakan yang berlaku antara pihaknya dengan AMK Pulau Pinang menjadi senjata pihak musuh sepanjang kempen PRK Permatang Pauh. – 29 April 2015