Jambatan Sementara Gua Musang – Jeli Dibuka Akhir Mei Ini

Jambatan sementara menghubungkan jajahan Gua Musang – Jeli dijangka akan dibuka penghujung Mei ini bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat selepas diancam bencana banjir akhir tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha berkata, jambatan Setulu, Nenggiri sepanjang 600 meter itu dibina untuk kegunaan sementara melibatkan kos RM870,000.

Jambatan sementara yang menghubungi Gua Musang - Jeli akan dibuka penghujung Mei ini
Jambatan sementara yang menghubungi Gua Musang – Jeli akan dibuka penghujung Mei ini

“Kita letak lampu isyarat untuk keselamatan pengguna kerana jambatan tersebut digunakan mengikut giliran memandangkan ia hanya satu laluan sahaja.

“Jambatan yang menjadi laluan alternatif Gua Musang-Jeli itu dibina untuk kegunaan sementara dan pihaknya sedang mendapatkan peruntukkan untuk pembinaan semula jambatan yang musnah akibat bencana alam pada penghujung 2014 lalu,” katanya kepada sokmo.net di Kota Bharu, hari ini.

Jelasnya, jambatan baharu itu bagi menggantikan jambatan yang musnah akibat bencana banjir sekitar Disember tahun lalu.

Beliau berkata, kira-kira RM40 juta diperlukan untuk membina semula jambatan yang musnah itu.

“Kita dalam proses mendapatkan peruntukkan tersebut dan dijangka akan memulakan proses pembinaan pada tahun ini,” katanya.

Katanya, jambatan sementara itu dibina memandangkan ia laluan utama penduduk Gua Musang ke Jeli dan kira-kira 600 buah kenderaan setiap hari menggunakan laluan tersebut.

Jambatan Setelu musnah akibat dirempuh kayu balak yang dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri semasa bah kuning melanda negeri Kelantan penghujung tahun lalu.

Kejadian itu menyebabkan lebih 300 penduduk di Kampung Setelu dan Kampung Star terpaksa bergadai nyawa menaiki perahu pancung menyeberang sungai untuk mendapatkan bekalan makanan dan barangan keperluan harian.- 6 Mei 2015.