Polis Berjaya Menahan Ketua ‘Geng Buyong’

Polis Kelantan telah berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai ketua ‘Geng Buyong’ yang aktif melakukan kegiatan jenayah di negeri ini di hadapan Bangunan Great Wall Iklan Kampung Dusun Raja, Jalan Bayam di sini, Rabu lalu.

Suspek yang berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan D-7 Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan hasil maklumat orang ramai dan risikan.

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek Nor Tarmizi Md Saleh atau lebih dikenali Buyong itu ditahan dibawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Kita sudah menjalankan gerakan memburu geng Buyong ini sejak 2011 lagi dan susupek juga dipercayai telah melarikan diri ke sempadan Thailand.

“Suspek adalah penjenayah yang paling dikehendaki kerana terlibat dengan pelbagai kes jenayah senjata api dan pengedaran dadah di negeri ini” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-45 Pasukan Kor Kadet Polis Diraja
Malaysia Peringkat Kontinjen Kelantan Tahun 2015 di sini, hari ini.

Mazlan berkata, Geng Buyong ini masih lagi wujud, namun tidak begitu menonjol kerana pihaknya sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras kumpulan berkenaan.

“Suspek kini ditahan dibawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) dan kini direman selama 21 hari bermula 30 April untuk siasatan lanjut,” katanya. – 6 Mei 2015.