PKR Bimbang Peratus Keluar Mengundi Merosot

Kemerosotan peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya kecil (PRK) Parlimen Rompin semalam secara tidak langsung mengundang kebimbangan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang akan menghadapi PRK Parlimen Permatang Pauh esok.

Beliau bimbang sekiranya trend sama akan berulang di Permatang Pauh menyebabkan peratusan keluar mengundi turut merosot.

Ekoran itu beliau cuba menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertindak menetapkan tarikh PRK Permatang Pauh pada hari bekerja.

Katanya, hari bekerja akan menyukarkan pengundi untuk pulang menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

“Kita melihat bagaimana SPR menganaktirikan kita, sebab ini adalah cuti panjang, sepatutnya Permatang Pauh patut buat pemilihan lebih awal lagi dari PRK Rompin.

“Dengan apa yang telah SPR lakukan, memang akan menjadi (merosot) kita harap tidak terkesan sangat, harap orang mengambil inisiatif untuk balik mengundi,” katanya dalam sidang media hari ini.

PRK Parlimen Rompin semalam menyaksikan kemerosotan peratus keluar mengundi sehingga 12 peratus.

SPR berpendapat cuti umum yang terlalu panjang menjadi faktor kemerosotan peratusan keluar mengundi.

PRK Parlimen Rompin mencatat 74 peratus daripada keseluruhan pengundi 53,294 orang, berbanding 86 peratus pada Pilihan Raya Umum ke – 13.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, pihaknya banyak kali menekankan perkara tersebut supaya SPR dapat memilih tarikh yang lebih sesuai.

“Kita tekankan berkali-kali SPR harus dipersalahkan kerana memilih tarikh hari kerja.

“Perkara ini juga sudah dibangkitkan banyak kali dan kemungkinan besar bahawa kadar peratusan keluar mengundi (PRK Permatang Pauh) juga akan menurun,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin mencabar pengundi kawasan itu yang berada dalam negara supaya balik mengundi.

“Trend di Rompin itu agak membimbangkan dan ia tidak baik, kita harapkan lebih baik di sini, kita cabar pengundi-pengundi kita boleh kalahkan Rompin untuk lebih ramai lagi pengundi keluar,” katanya lagi. – 6 Mei 2015.