PAS Kelantan Ramal Ahmad Sukar Menang

Tindakan bekas naib presiden PAS, Ahmad Awang yang mengesahkan akan mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi merebut jawatan Presiden mengejutkan banyak pihak termasuk Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan ternyata tidak menduga Ahmad akan berbuat demikian meskipun desas-desus mengenainya telah tersebar sebelum ini.

Beliau bagaimanapun berkata, pada masa ini, tiada tokoh lain yang lebih layak dan berupaya untuk menggantikan kepemimpinan Abdul Hadi yang sememangnya sudah selaras dengan dasar parti itu.

Pada masa yang sama, beliau mengulangi pendiriannya dan PAS negeri untuk kekal menyokong kepimpinan Abdul Hadi kerana percaya Ahli Parlimen Marang itu sangat berkelayakan untuk mengetuai sebuah parti gerakan Islam.

“Kita sokong Presiden dari dulu lagi, dari segala segi, tiada sebab kita nak tukar beliau. Abdul Hadi memang patut (kekal presiden) dan beliau juga merupakan timbalan kepada ketua ulama dunia.

“Kalau ada lebih baik (dari ketokohan presiden), tiada masalah. Setakat ini yang sesuai dengan dasar parti adalah Abdul Hadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Fotografi Kaligrafi Islam di Muzium Islam dari Perpustakaan Rampur Raza, Lucknow, India di Kita Bharu.

Ahmad, 79, menyerahkan pencalonan untuk jawatan Presiden parti itu di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur, pagi semalam.

Sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi mengumumkan Ahmad layak bertanding jawatan presiden di samping Abdul Hadi dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa pada pemilihan parti itu bulan depan.

Ahmad Yakob yang juga Menteri Besar bagaimanapun berkata, peluang bekas Pesuruhjaya PAS Perak itu untuk menang amat tipis berdasarkan jumlah pencalonan yang dibuat oleh para perwakilan di peringkat kawasan.

“Dia (Ahmad) dah sah bukan?, bolehlah bertanding (berseloroh). Bertanding itu boleh tetapi nak menang itu saya rasa susahlah.

“Bagaimanapun, ini dalam sejarahlah, kalau dia betul-betul serahkan borang pencalonan. Ini suatu sejarah dalam Pas kerana sebelum ini tiada pertandingan (merebut jawatan presiden),” katanya. – 15 Mei 2015.