Jualan Kraftangan Kelantan Merosot

Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan mencatatkan penurunan jumlah kutipan jualan yang amat ketara dalam tempoh bulan tahun ini.

Pengarahnya, Juhari Azmi berkata, dalam tempoh lima bulan tahun ini, jumlah kutipan yang diperolehi sebanyak RM33.8 juta berbanding RM80 dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan 24 peratus daripada nilai sasaran tahun ini iaitu RM140 juta berbanding RM107 juta pada tahun lalu.

“Walaupun kutipan jualan untuk tempoh lima bulan ini agak merudum iaitu lebih 50 peratus berbanding tahun sebelumnya tetapi, kita yakin sasaran itu berjaya dicapai melalui beberapa program dan promosi yang bakal dianjurkan sepanjang tahun ini.

“Kita adakan tiga program dan promosi secara besar-besaran pada tahun ini, selain mengikuti program yang dianjurkan oleh kraftangan Malaysia,” katanya ditemui pada program Promosi Kraf Malaysia di KB Mall, Kota Bharu.

Menurutnya, banjir besar yang melanda Kelantan pada hujung tahun lalu di antara penyebab pengusaha kraf di negeri ini berdepan dengan kemerosotan jualan.

Beliau memberitahu, pihaknya telah membelanjakan RM1 juta bagi membantu lebih 100 pengusaha kraf dan batik yang mengalami kerugian selepas kilang masing-masing mengalami bencana banjir baru-baru ini.

“Kita bantu mereka dari segi persiapan pasca banjir seperti kain putih, mesin pembuatan dan ubat untuk membuat batik. Kami berharap dengan bantuan tersebut akan meringankan beban mereka yang kebanyakannya terlibat secara langsung dengan banjir, Disember lalu,” katanya.

Mengenai program yang diadakan selama 10 hari bermula 28 Mei itu, beliau berkata, pihaknya mensasarkan kutipan jualan sebanyak RM600,000 selain meningkatkan promosi produk kraf tempatan untuk memenuhi pasaran domestik.

“Seramai 61 usahawan kraf dari bidang tekstil, seramik, logam, hasil rimba dan aneka kraf di tampilkan untuk program ini dan kita turut mengetengahkan demonstrasi Kraf Seramik, Teknik Acuan, dan teknik potters wheel serta pembuatan atap singhora.

“Program bermula jam 10 pagi hingga 10 malam itu turut menyediakan aktiviti interaktif kraf seperti permainan tradisional, mewarna batik dan melukis di pasu seramik selain persembahan wayang kulit dan dikir barat,” katanya. – 31 Mei 2015.