BN Tidak Campur Krisis MIC

Barisan Nasional (BN) tidak akan campur tangan dalam krisis kepimpinan MIC yang kini kelihatan semakin meruncing.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, BN prihatin dengan perkembangan yang sedang berlaku dan percaya MIC mampu menyelesaikan krisis yang sedang melanda.

“Mereka rasa mereka dapat menyelesaikan masalah itu, jadi serahkan sahaja kepada mereka (untuk menyelesaikan perkara dalaman parti itu).

“Bagaimanapun, sebagai setiausaha agung Barisan Nasional, saya menasihati mereka supaya berfikirlah dengan rasional dan bersatulah kerana masyarakat India memerlukan MIC untuk mencapai hasrat mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat pada Rabu.

Semalam, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel menggantung keanggotaan timbalannya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan 14 yang lain selama setahun berkuat kuasa serta merta kerana mengingkari arahannya supaya tidak mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Sementara parti itu.

Bagaimanapun, Subramaniam menganggap penggantungan keanggotaan beliau dan 14 yang lain itu sebagai tidak sah dan Palanivel kemudiannya menegaskan bahawa beliau masih presiden MIC serta menyangkal dakwaan CWC parti itu.

Tengku Adnan berkata, BN telah beberapa kali mengadakan perjumpaan dengan MIC dan mengesyorkan beberapa penyelesaian, tetapi tidak dipersetujui parti itu.

“Kami sudah banyak kali berbincang dengan mereka serta menawarkan beberapa penyelesaian…tetapi mereka tidak menerimanya,” kata beliau.

Beliau dalam pada itu, menafi dakwaan kononnya krisis yang melanda MIC akan menjejaskan prestasi BN. – 17 Jun 2015.