RUU Hudud Tidak Dibahas Sebelum Selesai Urusan Kerajaan

Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud di Kelantan tidak akan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat selagi agenda dan urusan kerajaan tidak selesai.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 15 mengatakan bahawa sesuatu usul daripada usul persendirian tidak akan dapat dibahas selagi agenda-agenda urusan kerajaan di bawah peraturan mesyuarat 15 tidak selesai.

“Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat 15 antara lain menyebut pada tiap-tiap hari persidangan mesyuarat Dewan Rakyat, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan-urusan lain,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pandikar Amin menjelaskan perkara itu bagi menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang bertanya kemungkinan usul berkenaan akan dibincangkan pada sidang Dewan Rakyat.

RUU bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) itu disenaraikan sebagai usul terakhir untuk dibahas pada persidangan kali ini yang akan berakhir Khamis.

Beliau berkata, telah menjelaskan perkara itu ketika pertemuan dengan Abdul Hadi, Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Baharu) dan Mahfuz sendiri sebelum ini.

“Penjelasan telah saya beri kepada ketiga-tiga Yang Berhormat. Saya tidak faham kenapa Yang Berhormat (Mahfuz) masih minta penjelasan saya dalam dewan ini … adakah semata-mata kerana Yang Berhormat sendiri punya agenda politik,” katanya sinis.

Pandikar Amin turut menepis rumusan cuba dibuat Mahfuz bahawa kerajaan tidak bersedia untuk memberi laluan kepada rang undang-undang itu untuk dibahaskan.

“Itu hanya tafsiran anggota Parlimen itu sendiri,” katanya. – 18 Jun 2015.