Sejarah Puasa Islam Dan Umat terdahulu

Dalam surah al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang maksudnya lebih kurang: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Dua perkara yang kita dapati menerusi ayat tersebut 1) Puasa adalah ibadat untuk membawa seseorang ke jalan ketakwaan, 2) Ibadat puasa sebenarnya bukan diwajibkan kepada umat masa kini atau umat nabi Muhammad sahaja tetapi ia telah diwajibkan ke atas umat-umat terdahulu.

Ulama berbeza pendapat dalam pentafsirkan maksud “orang-orang sebelum kamu” di dalam ayat tersebut. Sesetengah ulama mengatakan ia membawa maksud orang-orang Nasrani sahaja. Namun ada pendapat mereka adalah Ahlul Kitab iaitu orang Nasrani dan Yahudi.

Bagaimanapun, pendapat lain mengatakan bahawa ia bermaksud seluruh umat terdahulu yang menjadikan puasa sebagai amalan dalam kehidupan mereka sama ada kerana tuntutan keagamaan, kemasyarakatan atau kerana menolak sesuatu bencana dan sebagainya.

Jika merujuk kepada sejarah, kita akan dapati banyak bangsa di dunia ini mengamalkan puasa di dalam kehidupan mereka walaupun mungkin berbeza dari segi tujuan atau niat.

Misalnya bangsa-bangsa lama seperti India, China, Jepun, Parsi, Mesir Purba, Greek, Rom, Yahudi, Nasrani dan Arab Jahiliyyah masing-masing mengamalkan puasa pada hari atau bulan tertentu dalam setahun.

India:

Dalam sejarah bangsa ini, mereka menjadikan amalan berpuasa yang mempunyai pelbagai matlamat, antaranya sebagai persembahan kepada bulan yang mereka puja. Penganut kepercayaan ini, selain mempersembahkan makanan, minuman dan susu, mereka juga berpuasa selama setengah bulan dan berbuka ketika bulan mengambang pada waktu malam. Mereka akan berhenti amalan ini apabila muncul anak bulan baharu.

Mereka juga percaya amalan puasa boleh melepaskan diri dari kesiksaan akidah tanasukh dan bercantum dengan tuhan mereka yang disebut sebagai Brahma dan akhirnya mencapai kebahagiaan sejati.

Seseorang tidak akan sampai kepada Brahma kecuali apabila dia sudah sampai kepada hakikat dan melepaskan diri dari segala macam ikatan kebendaan. Dengan itu kehidupan secara zahid amat terkenal di kalangan bangsa India. Dalam konteks ini mereka akan berpuasa selama 14 hari tanpa memakan sebarang makanan, kecuali dengan diselang-seli minuman air sahaja selama masa tersebut.

Namun, bagi tujuan untuk melepaskan diri dari kekuasaan tanasukh atau menghapus akidah ini dari menguasai roh mereka puasa yang akan diamalkan adalah berpanjangan.

Kepercayaan Budha yang lahir di India tidak terlepas dari amalan ini. Kita lihat Budha sendiri mengamalkan cara hidup berpuasa selama 6 tahun. Dalam pegangan salah satu mazhab Budha, seorang ahli agamanya dikehendaki berpuasa sepanjang masa selama hidupnya, tanpa mengambil apa-apa makanan kecuali sebiji beras sahaja pada waktu duha setiap hari.

Dalam peraturan keagamaannya, para pengikut Budha dihendaki berpuasa empat hari dalam masa sebulan, iaitu pada hari pertama awal bulan, hari kesembilan, hari ke-15 dan hari ke-20.

Tujuan amalan ini ialah untuk sampai kepada hakikat atau mencapai kebahagiaan sejati atau navarna.

China dan Jepun:

Agama Budha kemudiannya berkembang di China dan Jepun. Di negara China ia menjadi agama rasmi negara pada masa pemerintahan Maharaja Fu Ti (58 – 71M.). Di negara Jepun, agama Budha mula bertapak pada pertengahan kurun ke enam Masihi. Dan akhirnya ia juga menjadi agama negara bagi negara itu. Di sini agama ini telah berpecah kepada beberapa aliran yang drastik. Dan dengan perkembangan itu (agama Budha) maka amalan puasa turut diamalkan oleh rakyat kedua-duanya.

Parsi:

Fakta bahasa, budaya dan acara keagamaan menunjukkan orang-orang Parsi sebenarnya adalah berketurunan campuran India-Eropah. Dikatakan sejak abad ke-14 sebelum masihi Parsi merupakan sebuah negara yang menganut agama Hindu lama. Dengan itu terdapat di kalangan mereka nama-nama pinjaman seperti Andra, Matra, Faruna dan Vida yang kesemuanya merupakan nama-nama tuhan dalam kepercayaan orang-ornag India. Dan dengan itu sekaligus terdapat di kalangan mereka acara-acara keagamaan orang-orang India purba, seperti pengorbanan, puasa dan lain-lain.

Kemudian pada abad kelima sebelum masihi, Parsi mula menerima pengaruh Yahudi. Sebahagian mereka mengamalkan beberapa acara keagamaan orang-orang Yahudi seperti sembahyang dan puasa.

Hasil percampuran pelbagai kepercayaan di kalangan penduduk Parsi didapati mereka mempunyai program puasa seperti berpuasa selama tujuh hari pada setiap bulan, dua hari berturut-turut tanpa berbuka apabila bulan purnama, dua hari apabila bulan perpindah kepada garisan jaddi, 30 hari dan berbuka pada ketika matahari jatuh apabila ia berpindah pada garisan dalwu dan berpuasa pada hari Ahad dan Isnin kerana memberi penghormatan kepada matahari dan bulan.

Puasa di kalangan orang-orang Mesir purba dilakukan sebagai memberi khidmat kepada rumah ibadat dan protokolnya. Seseorang pembantu rumah ibadat sebelum memulakan khidmatnya dikehendaki berpuasa selama dua hari tanpa memakan apa-apa makanan kecuali air sahaja. Kadang-kadang puasa itu berlanjutan sehingga 42 hari.

Orang-orang awam akan berpuasa pada beberapa waktu yang terdekat kerana berlaku mala petaka seperti banjir besar, mereka akan berpuasa selama empat hari dan mereka juga berpuasa pada hari-hari berlaku peristiwa sedih yang lain, seperti hari kematian lembu suci dan lain-lain. Kesemuanya diatur oleh ahli-ahli agama mereka.

Greek dan Rom:

Penduduk kedua-dua negara ini tidak banyak beza dari segi cara berpuasa dan matlamatnya.

Di Greek, rakyatnya berpuasa dalam pelbagai bentuk ketika berlaku mala petaka dan bala bencana agar segala macam kesiksaan itu akan tamat segera. Ada juga mereka berpuasa kerana mensyukuri tuhan mereka kerana terlepas dari bala atau kerana berlaku perubahan kepada undang-undang negara.

Rakyat negara ini juga akan berpuasa selama 10 hari sebelum melakukan peperangan kerana bertujuan memohon kemenangan.

Di Rom, rakyat negara ini sangat percaya dengan kekuatan puasa sehingga mereka mempercayai bahawa seorang yang berpuasa mampu membunuh ular tedung dengan ludahnya sahaja. Seorang tukang tilik perempuan biasanya berpuasa selama 3 hari disamping beberapa amalan pelengkap yang lain sebelum melakukan apa-apa tilikan. Rakyat terpaksa memberi upah kepadanya jika mereka memohon apa-apa khidmat tilikannya.

Yahudi:

Bangsa Yahudi adalah pengikut syari`at Musa. Sebelum menerima kitab Taurat, Musa AS. berpuasa selama 40 hari di Saina’. Tetapi orang-orang Yahudi menganggapnya sebagai puasa khusus Nabi Musa. Ulama tafsir mengatakan bahawa Musa berpuasa 40 hari ini tanpa diselangi sama sekali dengan berbuka.

Bagi orang-orang Yahudi, mereka berpuasa sehari sahaja, sebagai puasa wajib, iaitu pada hari ghufran (pengampunan). Mereka mendakwa hanya itu sahaja puasa wajib yang dikenakan ke atas mereka. Puasa-puasa lain adalah puasa sunat yang dilakukan beberapa kali dan tidak tersusun.

Puasa sehari ini mereka lakukan pada satu perempat jam sebelum jatuh matahari hari ke 9, bulan Tashri, iaitu awal tahun Ibri (tahun Yahudi) dan berterusan sehingga selepas satu perempat jam jatuhnya matahari pada hari ke sepuluh. Iaitu kira-kira selama 25 jam berturut. Sepanjang masa berpuasa itu mereka dilarang memakan, meminum dan melakukan hubungan kelamin. Puasa ini menjadi amalan mereka sehingga kini. Hari kesembilan ini mereka namakan juga sebagai hari kabur, iaitu hari `asyura’ mereka.

Tentang puasa-puasa sunat, ada beberapa kali mereka berpuasa di sepanjang tahun kerana beberapa perayaan atau peristiwa yang telah berlaku, seperti perayaan kerana mengenangkan mereka terlepas dari gerakan penghapusan atnik di negara Parsi yang dilakukan oleh seorang menteri di negara itu bernama Haman. Untuk perayaan ini, mereka berpuasa selama tiga hari. Perayaan ini dinamakan sebagai Hari Raya Forim.

Begitu juga mereka berpuasa kerana peristiwa sebuah rumah ibadat mereka di negara Mesir yang dibakar oleh ahli agama negara itu di bawah pengaruh Parsi. Terdapat 19 hari perayaan mereka sepanjang tahun yang digandingkan dengan amalan berpuasa. Sebahagiannya, mereka berpuasa selama sehari dan ada juga mereka berpuasa selama tujuh hari.

Perayaan yang paling penting bagi mereka ialah perayaan hari mereka dilepaskan dari buruan tentera Fir`aun dibawah pimpinan Nabi Musa menyeberangi laut Merah yang mereka namakan sebagai hari Fash.

Nasrani:

Orang-orang Nasrani sama seperti orang-orang Yahudi merupakan penganut agama Ahlul Kitab, mereka juga turut berpuasa sebagai salah satu amalan agama mereka.

Orang-orang Nasrani terbahagi kepada tiga mazhab atau aliran, iaitu Katholik, Othordok dan Protestin. Ketiga-tiga mazhab ini mempunyai cara amalan puasa yang sebahagiannya berbeza di antara satu dengan yang lainnya.

Bagi pengikut mazhab Katholik, mereka mula berpuasa pada pertengahan malam sehingga ke waktu pertengahan siang esoknya. Pada masa berpuasa, mereka dilarang mengambil makanan dan minuman sahaja. Seseorang lelaki diwajibkan berpuasa sejak berumur 15 tahun sehingga ke umurnya 60 tahun dan seorang perempuan pula diwajibkan memulakan puasanya pada umur yang sama dengan lelaki, tetapi ia berakhir pada umur 55 tahun. Menurut mazhab ini, pengikutnya dikehendaki berpuasa hanya pada Hari Puasa Besar sahaja. Gereja mazhab ini membatalkan kesemua puasa-puasa yang lainnya. Hal ini dikatakan kerana tiada nas di dalam Injil.

Mereka juga dilarang memakan daging, susu dan telur pada hari Rabu dan Jumaat pada setiap minggu, begitu juga pada hari-hari Puasa Besar. Larangan ini melibatkan kesemua penganut mazhab ini sejak berumur tujuh tahun sehingga ke akhir hayatnya.

Pengikut mazhab Othordok pula, mereka mempunyai program puasa yang tersendiri. Pada mereka, puasa ialah menahan diri dari memakan makanan dalam masa yang tertentu. Masa ini hanya ditentukan oleh padri mazhab mereka yang mempunyai hak berbuat demikian.

Dalam mazhab ini, puasa besar dianggap sebagai puasa yang paling penting, masanya selama 50 hari dan kebiasaannya berakhir pada hari Raya Kiamat. Mereka juga berpuasa selama 40 hari yang dinamakan Puasa Kelahiran, bermula dari 25hb. Nov. sehingga 6 Januari, iaitu sebelum berlangsung Raya Kelahiran.

Pihak gereja mazhab ini juga turut berpuasa pada hari Rabu dan Jumaat dan sehari puasa yang lain dinamakan dengan Puasa Rasul-rasul.

Selain dari itu, pengikut mazhab ini juga berpuasa selama 15 hari untuk Mariam yang bermula pada awal Masri (bulan kiraan orang-orang Nasrani).

Mereka juga berpuasa tiga hari seperti puasa Nabi Yunus AS., puasa Paramont di antara sehari sehingga ke tiga hari.

Mazhab Protestin pula, puasa menjadi amalan galakan sahaja kerana tiada nas Injil yang mewajibkannya. Dengan erti kata setiap pengikutnya akan berpuasa mengikut selera masing-masing.

Mazhab ini tidak menentukan masa untuk berpuasa dan ia juga tidak menentukan umur seseorang untuk berpuasa, malah segala-galanya diserahkan kepada pilihan atau kemahuan pengikutnya, bila mereka ingin berpuasa dan bila pula mereka ingin berbuka.

Semenanjung Tanah Arab:

Sebelum kedatangan Islam, negara itu sudahpun mempunyai agama yang dikenali dengan agama Hanif yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS., agama Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), Brahma, Sabi’ah, agama berhala, Majusi, penyembahahan cakrawala dan jembalang. Dengan itu amalan puasa merupakan sesuatu yang tidak asing di kalangan mereka. Sekurang-kurangnya mereka akan terpengaruh dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup bersama-sama di Semenanjung mereka.

Disebutkan bahawa orang-orang Arab Quraish, khasnya Quraish Mekah, berpuasa pada hari `Asyura’ sebagai penebus dosa mereka pada masa Jahiliah. Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa puasa `Ashura’ itu adalah mengambil sempena hari dipasang kelambu pada Ka`bah. Mereka berpuasa pada 10hb. Muharram. Puasa ini sama seperti puasa orang-orang Yahudi yang juga dinamakan sebagai puasa hari `Asyura’ atau puasa hari Pengampunan.

Selain dari itu, orang-orang Arab yang berada di bawah pengaruh orang-orang Nasrani, ada di antara mereka yang mengamalkan amalan puasa fardu selama 30 hari yang kemudiannya bertukar menjadi 50 hari pada waktu yang tertentu setiap tahun.

Zaman Islam:

Dalam Islam, puasa terbahagi kepada tiga iaitu puasa Ramadan, puasa khas seperti puasa nazar dan kaffarah dan puasa sunat. Kalau dari segi pusingannya ia terbahagi kepada dua peringkat iaitu puasa Ramadan dan sebelum Ramadan.

Puasa Sebelum Ramadan:

Puasa sebelum Ramadan, terbahagi kepada dua jenis, pertama: puasa `Ashura’ dan kedua: puasa tiga hari pada setiap bulan.

Menurut pendapat yang terkuat, puasa `Ashura’ sebelum difardukan puasa Ramadan merupakan puasa wajib ke atas orang-orang Islam. Terdapat beberapa buah Hadis yang menunjukkan hukum berkenaan, antaranya Hadis riwayat `Aishah RA. yang menyebut bahawa baginda telah mengarahkan supaya ditunaikan puasa `Ashura’, tetapi selepas difardukan puasa Ramadan, seseorang itu bebas sama ada ingin berpuasa `Ashura’ atau sebaliknya.

Demikian halnya dengan puasa tiga hari setiap bulan, ia juga merupakan puasa wajib sebelum difardukan puasa bulan Ramadan.

Puasa Ramadan:

Puasa Ramadan difardukan pada 2hb. Sya`ban, tehun ke 2H. menerusi 4 ayat dari surah Al-Baqarah, iaitu ayat 183-187. Ayat-ayat ini tidak diturunkan serentak, malah ia diturunkan satu demi satu yang dipisahkan dengan jarak masa yang tertentu.

Keempat-empat ayat tersebut telah memberi penjelasan terperinci tentang masa, cara dan apa-apa tegahan semasa berpuasa. Ia tidak membiarkan baginda menjelaskannya, tidak seperti ibadat-ibadat lain yang memerlukan Hadis Amali dari baginda yang menjelaskan cara perlaksanaannya dengan betul.

Sebagai contohnya, ayat pertama menunjukkan hukum melakukan puasa yang difardukan ke atas orang-orang Islam, ia juga ke atas umat-umat lampau.

Pada peringkat ini, puasa orang-orang Islam tidak berbeza dengan cara berpuasa orang-orang Yahudi, iaitu selama 23 jam, bermula selepas seseorang itu sembahyang Isya` atau selepas dia tidur sesudah waktu maghrib. Ia berterusan sehingga waktu jatuh matahari pada hari berikutnya.

Cara berpuasa pula di dalam bentuk pilihan, iaitu sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh menggantikan hari dia berbuka itu dengan memberi makanan kepada seorang miskin bagi setip hari. Kedudukan ini berlanjutan sehingga turun ayat yang merobahnya, iaitu firmanNya yang bermaksud: …sesiapa yang melihat anak bulan, maka hendaklah dia berpuasa.

Dengan itu puasa Ramadan sudah bertukar corak, dari bentuk di mana orang-orang Islam diberikan pilihan sama ada berpuasa atau memberi makanan kepada orang miskin, kepada hukum berpuasa sahaja (tanpa pilihan) sepanjang bulan itu.

Walaupun begitu masa berpuasa tetap seperti asalnya, iaitu bermula dari selepas sembahyang `Isya’ atau selepas tidur sesudah waktu maghrib sehingga ke waktu jatuhnya matahari pada hari berikutnya.

Kedudukan ini berlanjutan sehinggalah turunnya ayat yang berikutnya: …diharuskan bagi kamu melakukan persetubuhan dengan isteri-isteri kamu pada malam bulan Ramadan dan firmanNya: … makanlah dan minumlah sehingga jelas kepada kamu benang putih dari benang hitam menerusi cahaya matahari.

Kedua-duanya menjelaskan kepada orang-orang Islam bahawa mereka diharuskan makan, minum dan bertamattu` dengan isteri-isteri mereka pada malam Ramadan. Mereka hanya dikehendaki menahan diri dari perkara-perkara tersebut dan lainnya yang membatalkan puasa bermula dari sejak naik fajar sehinggalah ke waktu jatuhnya matahari hari yang sama.

Dari pendedahan ini kita dapati bahawa masa untuk berbuka puasa pada peringkat awalnya adalah sama dengan apa yang telah diamalkan oleh Ahl Al-Kitab ketika mereka berpuasa, iaitu bermula dengan jatuhnya matahari dan berakhir dengan: sama ada selepas orang yang berpuasa itu sembahyang `Isha’ atau dengan berlangsungnya tidur sesudah jatuhnya matahari pada hari berkenaan sekalipun sebelum melakukan sembahyang `Isha’. Dengan itu, seseorang yang ingin melanjutkan masa berbukanya, dia akan melewatkan sembahynag Isha’ dan tidak tidur selepas jatuhnya matahari.

Kedudukan tersebut memberi gambaran jelas kepada kita bahawa puasa Ramadan juga telah difardukan ke atas pengikut Ahlul Kitab sebelum Islam. Inilah pendapat sebahagian ulama seperti Qatadah, al-Tabari dan al-Sudi. Dengan itu maksud firmanNya: …. seperti ia difardukan ke atas mereka sebelum kamu (Ahlul Kitab) pada beberapa hari tertentu ialah bulan Ramdan.

Begitulah, antara perkembangan yang berlaku dalam sejarah kefarduan puasa bulan Ramadan sehingga seperti yang kita lakukan pada hari ini. Dan begitu jugalah kedudukan amalan puasa di kalangan umat terdahulu.