‘Kucing Kurap’, Tun M Hina Diri Sendiri, Chegubard Sifat Sebagai Pengecut

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin menyatakan sedikitpun tidak merasa terhina digelar ‘kucing kurap’ oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M).

“Semua orang tahu semalam Tun M telah buat perjumpaan dengan NGO seramai 50 orang yang memang kaki sorak, kaki ampu yang dah kenyang dengan dia. kemudian sudahlah dia tolok, dia hina saya adakah saya rasa terhina? saya tidak rasa terhina.

“Dia terpaksa gunakan bahasa kesat panggil orang kucing kurap depan media depan orang ramai maknanya Dr Mahathir menghina diri dia dan memalukan diri dia sendiri dan saya bersimpati dengan kejadian tersebut,” katanya dalam sidang media pada Khamis.

Tun M menggelar Badrul Hisham atau lebih dikenali dengan Chegubard sebagai kucing kurap ketika ditanya mengenai pelawaannya supaya tampil sebagai panel untuk sesi “Hot Seat” #Nothing2Hide bagi menjawab persoalan dan dakwaan yang timbul sewaktu pentadbiran Tun M selama 22 tahun.

Chegubard sebaliknya berkata, Tun M telah memalukan dirinya sendiri kerana terpaksa menggunakan bahasa kesat (kucing kurap) di hadapan media dan orang ramai tatkala menjawab soalan tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga katanya, telah berjaya membuktikan bekas Perdana Menteri itu pengecut kerana menolak pelawaan untuk berdebat dengannya.

Dalam perkembangan berkaitan, Chegubard yang digantung keahlian Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak tahun lalu berkata, berbanding Najib yang diserang bertubi-tubi, Tun M juga telah melakukan banyak penyelewengan ketika berkuasa. – 19 Jun 2015.