Murtabak Ayam, Air Tebu Juadah Pilihan PM Hari Pertama Puasa

Hari pertama puasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih murtabak ayam dan air tebu sebagai juadah berbuka.

Kuih dan air tebu yang menjadi pilihan tradisi umat Islam di bulan puasa itu dibelinya semasa mengunjungi Bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 bersama orang ramai.

Sempena kunjungan itu, Najib turut meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi meninjau bazar yang menyediakan 300 lot niaga.

Peniaga air tebu berkenaan, Mohd Asri Jamaluddin, 35, berasa terkejut dan teruja apabila gerainya dikunjungi pemimpin nombor satu negara.

“Tak sangka perdana menteri datang gerai saya dan bayar sendiri air yang dibeli,” katanya dengan penuh teruja.

Terdahulu, Najib merasmikan Festival Ramadan Putrajaya melibatkan kawasan Kompleks Perbadanan Putrajaya, Kiblat Walk dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Presint 3 yang bermula 18 Jun hingga 16 Julai ini.

Festival itu bertujuan menarik pelancong dan pengunjung ke Putrajaya selain menjadikan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai lokasi alternatif untuk mendapatkan barang keperluan bagi sambutan Aidilfitri.

Sebanyak 92 unit kiosk jualan barangan raya dan 18 gerai menjual juadah berbuka disediakan di sekitar tapak festival selain kemudahan kerusi serta meja untuk pengunjung berbuka puasa. – 19 Jun 2015.