Parti Baharu Akan Tenggelam – Hadi

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan Pemimpin dan ahli PAS yang menyertai parti dan pertubuhan lain akan ‘tenggelam’ bersama parti baharu itu.

Peringatan itu dibuat menerusi surat terbukanya kepada ahli parti berikutan rancangan penubuhan sebuah parti baharu yang menyerupai PAS oleh mereka yang tewas pada pemilihan pucuk pimpinan baru-baru ini.

“Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya.

“Adapun perkara yang akan datang berada dalam ilmu Allah dan kita diwajibkan mengambil iktibar serta sentiasa berilmu, berdoa dan bertawakkal kepada Allah,” katanya menerusi surat terbuka kepada ahli-ahli PAS.

Sebelum ini dilaporkan kumpulan progresif dalam PAS yang tewas pada pemilihan awal bulan ini sedang mencari ‘wadah baharu’ dalam meneruskan agenda perjuangan mereka dalam politik.

Semalam, bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad memberi kata dua kepada partinya supaya menjadi lebih inklusif dalam masa 100 hari selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada 6 Jun lalu atau berhadapan dengan kemungkinan akan wujud parti atau pertubuhan baharu yang lebih mesra Pakatan Rakyat.

Katanya, jika PAS gagal membuktikan kemampuan mereka, parti Islam itu mungkin akan berhadapan dengan kemunculan sebuah parti baharu menyerupai PAS.

Ahli Parlimen Marang itu turut berpesan kepada ahli PAS supaya kekal dengan parti yang berpegang kepada prinsip perjuangan Islam yang ditubuhkan di atas prinsip dan matlamat berakidah yang teguh bersama konsep pendekatannya, dan wajib beristiqamah mengikut kenyataan nas serta sejarah.

“Gagalnya kita memahaminya, boleh menyebabkan ada kalangan yang kecundang atau tercicir di tengah jalan dalam perjalanan perjuangan ini kerana tidak menghayatinya dengan betul,” kata beliau lagi. – 23 Jun 2015.