Bruce Lee, Lee Kuan Yew, DAP dan Petir di Kelantan

Semua mengenali Bapa Singapura, Harry Lee Kuan Yew. Kepakarannya dalam membangunkan negara di selatan Semenanjung Malaysia sehingga menjadi satu-satunya negara maju di rantau ini amat dikagumi.

Namun ramai yang tidak mengetahui bagaimana beliau membina empayar politik bermula daripada seorang peguam dan menggunakan akhbar berpengaruh orang Melayu, Utusan Melayu untuk mencapai cita-cita politiknya sebelum meminggirkan semula orang Melayu di negara tersebut dengan mewujudkan dasar Malaysian Malaysia.

Kuan Yew memulakan langkahnya pada tahun 1950 apabila menjadi jagoan untuk membela golongan radikal – komunis – yang dipenjarakan oleh Inggeris di Singapura.

2370_bruce_lee
Bruce Lee

Ketika itu, dia baru sahaja pulang dari England selepas menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang.

Ibarat orang yang mengantuk disorongkan bantal, apabila Kuan Yew diminta oleh Pengasas, Pengarah Urusan dan Pengarang Utusan Melayu, Yusof Ishak untuk membela A. Samad Ismail apabila British hendak menyemak semula kes penahanan tokoh wartawan itu pada tahun 1952.

Sejak itu, Yusof melantik Kuan Yew menjadi Penasihat Undang-Undang Utusan dan persahabatan antara mereka menjadi erat. Dalam kes tersebut, Kuan Yew berjaya meyakinkan polis cawangan khas (SB) Bristish bahawa A. Samad lebih merupakan seorang nasionalis Melayu yang tidak tertarik dengan perkauman Cina Parti Komunis Malaya.

A. Samad bersama dengan Devan Nair dan beberapa orang lagi tahanan dibebaskan pada April 1953. Peguam lain meminta RM15,000 daripada Utusan untuk pembelaan kes A. Samad namun Kuan Yew hanya meminta token RM10 daripada Utusan. Devan Nair adalah rakan baik A. Samad ketika ditahan di penjara Sikijang, Singapura.

Lee Kuan Yew
Lee Kuan Yew

Sejak daripada itu, Kuan Yew, Devan Nair dan A. Samad menjadi rapat dan mereka merancang untuk menubuhkan sebuah parti baharu bagi mengambil alih kuasa daripada kerajaan Singapura yang dipimpin oleh Lim Yew Hock yang dianggap lemah dan tidak berwibawa.

Rundingan dari semasa ke semasa diadakan di Pejabat Utusan di Cecil Street, Singapura untuk menubuhkan parti itu. Puak komunis menyedari Kuan Yew membela mereka hanya mahu mencari pengaruh dalam kalangan komunis di Singapura. A. Samad diketahui mempunyai pengaruh yang kuat ke atas para pemimpin muda komunis Singapura yang berpengaruh terutamanya Lim Chin Siong.

Zainudin Maidin dalam bukunya ‘ Di Depan Api, Di Belakang Duri. Kisah Sejarah Utusan Melayu’ mencatatkan bahawa biarpun A. Samad dikatakan mempunyai jiwa sosialis nasionalis yang tidak menampakan kemelayuannya namun dia berjaya mempengaruhi golongan terpelajar Inggeris dan Cina supaya menerima unsur-unsur Melayu dalam teras kenegaraan.

Malah secara sulit A. Samad telah menulis nota kepada Menteri Kerajaan Tempatan Singapura, Hamid Jumaat supaya memasukkan satu fasal mengenai kepentingan Melayu dalam perlembagaan Singapura ketika rundingan dengan Kerajaan British di London untuk membentuk kerajaan sendiri, Singapura.

Pada November 1954, golongan komunis dan sosialis Singapura, A. Samad, Kuan Yew dan Devan Nair bersama beberapa yang lain menubuhkan People Action Party (PAP) atau Parti Tindakan Rakyat (Petir).

Kuan Yew menyedari pendirian A. Samad yang mementingkan nasib orang Melayu dan akan menjadi penghalang kepada cita-cita politiknya untuk memperjuangkan hak kesamarataan kaum ‘Malaysian Malaysia’ namun pada ketika itu pengaruh A. Samad dan Utusan Melayu lebih penting bagi mempengaruhi pemikiran orang Melayu.

“kerana beliau (A.Samad) akan dapat membantu kami untuk menembusi dunia berbahasa Melayu dan menyebarkan pandangan kami kepada masyarakat Melayu menerusi Utusan Melayu,” terang Kuan Yew dalam bukunya, The Singapore Story mengenai ‘kegunaan’ A. Samad pada ketika itu.

Menurut A. Samad dalam memoirnya yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993, Utusan Melayu mempunyai pengaruh yang kuat dalam kalangan orang Melayu biarpun hanya terjual sekitar 800 naskhah sehari di Singapura.

Pengaruh ini terbentuk bermula daripada hasil tulisan Abdul Rahim Kajai (Pak Kajai) dan Ishak Muhammad (Pak Sako) ketika Utusan Melayu mula ditubuhkan pada tahun 1939. Pojok Wak Ketok tulisan Kajai dan Hantu Raya tulisan Pak Sako menjadi bualan hangat di Singapura pada ketika itu.

Ikatan persahabatan di antara penaja Petir, Kuan Yew dan A. Samad tidak dapat bertahan lama dan akhirnya berpecah tidak lama selepas penubuhan parti itu. Kuan Yew menyedari idealisme perjuangan A. Samad.

Dan apabila dia mendapat pengaruh yang secukupnya dan gagah di Singapura, dia mula menyerang Utusan bermula tahun 1959 sebaik sahaja Yusof Ishak tersingkir daripada Utusan Melayu pada tahun 1958 selepas akhbar itu diambil alih oleh UMNO dan berpindah ke Kuala Lumpur.

Bagaimanapun secara tidak sedar Kuan Yew menanam tali barut dalam Utusan Melayu iaitu Othman Wok yang berhenti secara tiba-tiba untuk bertanding dalam pilihan raya di Singapura pada tahun 1963.

Permainan politik Othman yang pada ketika itu menjawat jawatan timbalan pengarang Utusan Melayu amat hebat, dia tidak menyertai mogok pekerja Utusan pada tahun 1961 malah bersama-sama pemimpin UMNO untuk mematahkan mogok itu. Othman bijak menyembunyikan sikapnya sebagai kader PAP.

Yusof dan Othman mendapat ‘reward’ yang sewajarnya daripada Kuan Yew. Yusof dilantik sebagai Presiden Singapura yang pertama manakala Othman menjadi menteri dan orang kanan Kuan Yew sehingga mati. Kuan Yew pernah menangis dalam satu majlis ketika mengenangkan kesetian Othman kepadanya.

Dikatakan sejak tahun 1958, Kuan Yew sentiasa memakai songkok, memetik ayat al-Quran dalam ceramahnya disamping menyediakan Melayu untuk menentang Melayu. Yusof dan adiknya Rahim Ishak serta Othman menjadi teman setia Kuan Yew dalam Petir.

Melayu Singapura terpegun, percaya dan yakin dengan individu-individu yang ditampilkan oleh Kuan Yew. Dan akhirnya Kuan Yew dan Petir memerintah Singapura sehingga hari ini. Soalnya bagaimana keadaan orang Melayu di Singapura hari ini adakah mendapat hak yang sama dengan kaum lain?

Selepas berpisah daripada Malaysia, perjuangan Petir atau PAP diwarisi oleh adiknya, DAP. Dan selepas 50 tahun, DAP mula menunjukkan pengaruhnya hasil daripada individu-individu seperti Yusof dan Othman.

DAP menggunakan taktik yang sama, merobohkan tembok Melayu dengan menggunakan orang Melayu.

Hari ini, DAP mula menular di negeri yang menjadi benteng Melayu terakhir, Kelantan. Yang membawa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng atau Anthony Loke Siew Fook dan Terresa Kok ke sini adalah orang Melayu.

Individu seperti Datuk Wan Abdul Rahim dan Dr. Hatta Ramli menjadi penghubung kepada DAP untuk menjelajah setiap pelosok negeri ini atas nama Impian Kelantan.

Alasannya untuk membantu mangsa malapetaka Bah Kuning. Kedua-dua mereka adalah daripada parti Islam, PAS. Malah baru-baru ini diadakan Pameran Amal Lukisan Ulang Tahun ke-75 Bruce Lee di sebuah pusat beli belah terkenal di Kota Bharu, KB Mall.

Untuk apa pameran ini diadakan sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang sibuk menjalani ibadah puasa. Adalah lebih baik mengadakan pameran mengenai pejuang-pejuang Islam?

Siapa Bruce Lee pada sejarah dan orang Islam?

Tentunya ‘Bruce Lee’, tidak lebih sekadar untuk menyediakan platform untuk puak-puak DAP terus berada di negeri ini. Kononnya pameran tersebut bagi mengumpul dana untuk membantu mangsa Bah Kuning.

Sebenarnya, DAP bijak mengambil peluang di atas kelemahan dan karenah birokrasi kakitangan awam untuk membantu mangsa banjir. Mereka melihat kelewatan kerajaan sama ada di peringkat Pusat dan negeri untuk membantu golongan tersebut menjadi peluang kepada mereka untuk mendapatkan keuntungan politik.

Manakala pada masa yang sama, puak-puak yang tersingkir daripada arus perdana PAS melihat ini juga sebagai satu peluang untuk mendapatkan kuasa.

DAP melihat tembok Melayu dan Islam di negeri Serambi Mekah itu harus dipecahkan. Sekiranya tembok (Serambi Mekah) itu hancur maka hancurlah umat Islam di negara ini dan jalan untuk DAP mengambil alih Malaysia amat cerah.

Apakah sejarah pada tahun 50-an dan 60-an di Singapura akan berulang di Malaysia?

Sejarah sentiasa berulang tetapi sejarah sepatutnya mengajar kita. Belajar daripada sejarah Utusan Melayu. Yang untung hanya dua tiga kerat orang Melayu dikeliling Harry Lee Kuan Yew tetapi nasib majoriti Melayu yang lain di Singapura hilang begitu sahaja.

Justeru, kita tidak boleh melihat sejarah hanya sebagai acara dan peristiwa. Semangat dan baraqah Ramadan patut menyedarkan kita daripada tanah air kita tergadai.