Operasi KTMB Fasa Pertama Bermula

Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berbaki beberapa hari saja lagi, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memulakan operasinya bagi fasa pertama selepas diberhentikan akibat banjir tahun lepas.

Presiden KTMB, Lt. Kol. (B) Sarbini Tijan berkata, fasa pertama itu membabitkan laluan tren dari Kemubu ke Kuala Krai dan Gemas ke Gua Musang.

“Bagi laluan Kemubu – Kuala Krai telah bermula semalam manakala laluan Gemas – Gua Musang bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, harga tiket bagi kedua-dua perjalanan itu adalah pada harga lama.

Sarbini juga berkata fasa kedua pemulihan landasan kereta api di pantai timur dijangka pulih sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Katanya, Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan KTMB amat prihatin dengan keperluan rakyat di Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu mengembalikan kemudahan infrastruktur tren dengan segera dan tidak pernah meminggirkan rakyat Kelantan.

Semua perkhidmatan tren di laluan pantai timur telah dibatalkan sejak 22 Disember lepas akibat banjir teruk yang melanda pantai timur tahun lalu.

Sarbini juga berkata fasa kedua pemulihan landasan kereta api di pantai timur dijangka pulih sepenuhnya pada akhir tahun ini. – 13 Jul 2015.