Kenderaan Berat Tidak Dibenarkan Masuk Kelantan Bermula Hari Ini

Kenderaan berat tidak dibenarkan memasuki negeri Kelantan bermula hari ini hingga 21 Julai depan bagi mengelak kesesakan jalan raya sempena sambutan Aidilfitri.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Kelantan (Pengurusan), Adnan Hussin berkata, kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan kenderaan berat memasuki negeri itu bagi membantu mengatasi kesesakan lalu lintas.

“Pihak berkuasa Negeri Kelantan melalui Persidangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Kali ke 14/15 yang bersidang pada 8 Julai membuat keputusan dan bersetuju untuk tidak membenarkan semua kenderaan berat memasuki negeri ini, tiga hari sebelum dan tiga hari selepas sambutan Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau berkata pihaknya turut mewartakan perintah larangan pemanduan kenderaan bermotor dengan kelajuan lebih daripada 70 kilometer sejam di seluruh jalan di negeri ini bermula 10 hingga 25 Julai ini. – 14 Jul 2015.