RM215 Juta Baik Pulih Infra Rosak Akibat Banjir

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan lebih RM215 juta bagi membaik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir pada hujung tahun lalu.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Gua Musang, Datuk Nozula Mat Diah berkata, peruntukan itu disalurkan menerusi pelbagai kementerian dan paling besar dibelanjakan RM100 juta bagi membaik pulih landasan kereta api.

“Selebihnya membabitkan Kementerian Pelajaran RM77 juta, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) RM27 juta dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani RM11 juta.

“Semua perbelanjaan ini untuk membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan rumah dan harta benda, selain bantuan kewangan,” katanya ketika berucap pada majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Tabung Bantuan Bencana Agromakanan kepada Usahawantani di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gua Musang.

Nozula berkata, bantuan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa banjir di Kelantan yang sehingga hari ini tidak berhenti menghulur bantuan secara berperingkat sejak musibah itu (banjir) berlaku.

Katanya, walaupun masih ada kemudahan yang belum dibaik pulih namun, usaha tersebut sedang dilakukan termasuk membaik pulih landasan keretapi.

“Bagaimanapun, sebahagiannya telahpun pulih. Kita harap kerja-kerja pemulihan itu selesai tidak berapa lama lagi,” katanya. – 14 Jul 2015.