Pak Su Mahu Keluar Lihat Dunia

Seumur hidupnya, Mohd. Hazmin Awang, 41, atau lebih mesra dipanggil Pak Su yang cacat anggota badan sejak lahir hanya berpeluang keluar dari rumah beberapa kali.

Kebanyakan masa pemuda ini dilalui penuh suram dan sepi kerana dia hanya mampu meniarap, mengengsot dan berguling.

Dia sekadar ditemani ibunya, Wan Zainab Wan Mamat, 71, yang tabah menjaga dan menguruskan keperluan hariannya seorang diri di Rumah Sejahtera sejak lapan tahun lalu.

Hari Raya Aidilfitri kali ini pula tiada bezanya berbanding hari-hari biasa bagi Pak Su. Hidupnya tetap suram dan sepi sambil merenung nasib yang serba kekurangan bersama ibu yang sudah tua.

Ketika insan sempurna lain ralit mengisi jadual sepanjang Syawal berkunjung ke rumah sanak-saudara, dua beranak itu pula mengisi masa dengan membaca al-Quran serta mendengar radio.

“Beberapa hari lalu, Pak Su ternampak papan dilengkapi roda untuk orang cacat sepertinya dalam televisyen. Sekarang, setiap hari dia merengek mahukan papan beroda seperti itu. Mahu tengok dunia luar katanya.

“Manalah saya mampu, saya sendiri tidak bekerja. Malah kami berdua sekadar menumpang di rumah kebajikan,” kata Wan Zainab.

Dua beranak tersebut ditemui krew Sokmo.Net ketika Program Titian Kasih Ramadan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) bersama penghuni Rumah Sejahtera, Kampung Paya Ular, Pasir Mas baru-baru ini.

Wan Zainab yang merupakan ibu tunggal menetap di rumah kebajikan tersebut bersama Mohd. Azmin sejak suaminya meninggal dunia, lapan tahun lalu.

“Arwah suami meninggalkan rumah di Kampung Bechah Semak, tetapi lama-kelamaan rumah itu reput dimakan anai-anai sehingga runtuh. Kami tidak ada pilihan kecuali mendapatkan perlindungan di Rumah Sejahtera,” katanya.

Ditanya mengenai anaknya yang lain, mata Wan Zainab mula berkaca namun dia seboleh-bolehnya mahu menahan tangis.

“Selain Mohd. Hazmin, saya mempunyai dua orang anak lagi, tetapi mereka sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan masing-masing. Kami tidak mahu menyusahkan mereka.

“Raya kali ini, kami tidak buat apa-apa persiapan. Baju pun tidak beli. Saya cuma mengharapkan dermawan yang sudi menghulurkan juadah raya” kata Wan Zainab.

Ibu tua ini dalam pada itu mengakui, hatinya resah memikirkan nasib Mohd. Hazmin andai ditakdir dia dijemput menghadap Ilahi suatu masa nanti.

Orang ramai yang ingin membantu dua beranak ini boleh menghubungi Pengerusi Rumah Sejahtera, Asha’ari Che Ali di talian 012-9898435. – 20 Jul 2015.