Sisa Pepejal Di Kelantan Meningkat

Setiap tahun, pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pembuangan sisa pepejal bertambah dua kali ganda setiap hari di Kelantan.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB- BRI), Rosnazli Amin berkata, pada hari biasa pengangkutan sampah hanya sekitar 360 tan metrik sehari berbanding 500 hingga 700 tan metrik sehari bermula awal hingga pertengahan Ramadan lalu.

“Peningkatan terus berlaku pada penghujung Ramadan sehingga hari raya kelima dengan purata 800 tan metrik sehari.

“Ia (peningkatan) dikatakan berpunca daripada pertambahan jumlah aktiviti perniagaan seperti bazar Ramadan dan penjaja perseorangan,” katanya.

Rosnazli berkata, peningkatan jumlah sisa pepejal juga dikatakan berpunca daripada kerja pembersihan rumah dilakukan orang ramai menjelang musim perayaan, selain aktiviti rumah terbuka yang menjadi amalan kebanyakan masyarakat di negeri ini.

Mengulas lanjut, Rosnazli berkata, kerja pembersihan sisa pepejal musim perayaan ini masih dijalankan MPKB- BRI dan dijangka berakhir Ahad ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan berkata, dalam tempoh 10 hari, Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) mengutip 550 tan metrik sisa domestik dan sisa pukal serta kebun ketika menjalankan kerja kutipan dan pembersihan di Kota Bharu.

Menurutnya, kerja kutipan dan pembersihan dilakukan di jalan utama dan protokol seperti Jalan Tok Guru, Jalan Sultan Yahya, Jalan Pasir Puteh dan Jalan Long Yunus, bermula 12 hingga 21 Julai lalu.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan sampah dipungut, hampir 70 peratus adalah sisa makanan, manakala selebihnya sisa pukal dan sisa kebun. – 24 Jul 2015.