Kerajaan Pusat Belanja RM590 Juta Tampung Defisit Kelantan

Kerajaan Pusat memberi peruntukan sebanyak RM67 juta bagi menampung defisit perbelanjaan mengurus kerajaan negeri pada tahun ini.

Pada tahun lalu, bagi peruntukkan yang sama diberikan sebanyak RM95.

Sehubungan itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan, adalah tidak wajar bagi PAS untuk terus melabel kerajaan Pusat zalim dan mengabaikan Kelantan.

“Yang dia sebut kita zalim, tetapi realitinya, Kelantan antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi bagi bantuan perbelanjaan mengurus defisit ini.

“Ini bantuan untuk menampung perbelanjaan defisit, bukannya kita beri pinjaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan Kali Ketiga, di Kota Bharu hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, Kelantan menerima sebanyak RM110.2 juta bagi tujuan penyelenggaraan jalan-jalan negeri.

“Sepanjang tahun lalu, negeri Kelantan menerima RM185.6 juta bagi perkara sama,” tambah beliau.

Berdasarkan rekod, dalam tempoh lapan tahun, kerajaan Pusat telah membelanjakan kira-kira RM590 juta untuk menampung perbelanjaan defisit di negeri itu.

Rekod juga menunjukkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 1,407 projek dilaksanakan di Kelantan.

Dalam RMK-10 pula, sejumlah 715 projek diluluskan untuk negeri itu.

Fakta ini menunjukkan dalam RMK-9 dan RMK-10, projek pembangunan dilaksanakan di Kelantan adalah berjumlah 2,122 dengan melibatkan kos mencecah RM11.536 bilion.

Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding beberapa negeri lain seperti Perlis, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah.

Angka-angka yang disebut di atas secara tidak langsung menangkis dakwaan PAS yang saban hari memberitahu rakyat dalam ceramah mereka bahawa BN menzalimi Kelantan.

PAS sebaliknya berbohong semata-mata mahu menanam kebencian rakyat terhadap BN dan UMNO. – 6 Sept 2015.