Spekulasi Bertiup Lagi

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini dikatakan mengadakan satu perjumpaan khas dengan Biro Politik UMNO.

Difahamkan, perjumpaan itu dibuat sebagai persediaan bagi menghadapi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada Rabu ini.

Dalam satu surat jemputan bertarikh 2 September yang ditandatangan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyuarat tersebut dijadual berlangsung pada jam 9.30 pagi ini di Pejabat Perdana Menteri.

Mesyuarat itu menimbulkan tanda tanya apabila ia berlangsung ketika spekulasi pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertiup kencang selain kemelut dalaman UMNO kian meruncing.

Selain nama Muhyiddin beberapa nama lain turut menjadi spekulasi akan disingkir ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sementara itu pemerhati politik berpendapat spekulasi itu tidak mungkin berlaku kerana pemecatan Muhyiddin hanya akan merugikan Barisan Nasional (BN) di parlimen.

“Jika Muhyiddin dipecat, semua jawatan yang disandangnya akan terlucut dan ini akan menambahkan suasana kritikal kepada BN di mana ahli Parlimen bebas semakin bertambah.

“Ahli parlimen bebas ini boleh memihak kepada sesiapa sahaja,” kata Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr. Abdul Halim Sidek.

Katanya, jika spekulasi itu benar maka, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mungkin diamanah untuk memangku jawatan timbalan presiden.

Dalam pada itu, peguam UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, ahli MT UMNO boleh memutuskan taraf keahlian mana-mana ahlinya termasuk menggantung atau memecat.

“Mengikut Perlembagaan UMNO salah satu tanggungjawab MT UMNO adalah menentukan taraf pendaftaran seseorang ahli (mengikut Fasal 5.7), menggantung atau melucutkan keahlian seseorang ahli,” katanya.

Beliau bagaimanapun, tidak mengetahui spekulasi pemecatan Muhyiddin pada mesyuarat itu nanti yang kini bertiup kencang.

“Saya tidak tahu tentang spekulasi timbalan presiden UMNO nak diturunkan atau sebagainya. Saya tidak mahu komen apa kerana saya tidak dengar atau tidak tahu pun tentang itu,” katanya. – 7 Sept 2015.