Tak Salah Pemimpin PAS Kaya – Nik Abduh

Tidak salah pemimpin PAS kaya atau memandu kereta mewah kerana ia tidak melanggar tuntutan Islam, kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Muhamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, pemimpin PAS perlu mempunyai kekayaan untuk membantu perjuangan parti itu menegakkan Islam.

Malah katanya, tidak salah sekiranya ada pemimpin PAS berniaga termasuk dengan kerajaan negeri Kelantan untuk mengumpul harta.nik abduh

“Jangan anggap semua pemimpin miskin, kena hidup sederhana, bukan begitu. Zaman Nabi Muhammad SAW dulu ada sahabat yang miskin, sederhana dan kaya.

“Nabi hidup sederhana tetapi bila nak perang, yang miskin keluar sikit (sumbangan) dan nabi akan jumpa dengan sahabat yang kaya seperti Abdul Rahman Auf dan Saidina Usman Affan.

“Bila kita perintah Kelantan, Tok Guru Nik Aziz ada kereta besar tetapi hidup sederhana. Ada pemimpin (PAS) yang otak bisnes lepas tu jadi kaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘cek’ tak ada apa sebab dia bisnes betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Wacana Kemerdekaan di Menara Tinjau, Tambatan Diraja di Kota Bharu baru-baru ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kereta mewah yang dimiliki oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, Nik Abduh berkata, Mohd. Amar sememangnya mempunyai hobi mengumpul kereta sejak dahulu lagi.

“Datuk Nik Amar memang minat kumpul kereta. Saya orang Pengkalan Chepa, kami semua tahu dia suka mengumpul kereta, kadang-kadang ada kereta sampai empat lima buah depan rumah dia.

“Dia beli kereta terpakai dan jual, kadang-kadang dia tak sempat jual sebab itu nampak kereta banyak di depan rumah dia,” katanya.

Tambahnya, dalam Islam tidak salah untuk memeliki kenderaan yang terbaik disebabkan ia penting untuk berdakwah.

“Ketika zaman Nabi Muhammad SAW dahulu, baginda memiliki unta yang terbaik di Madinah, pada zaman itu semua tahu unta baginda adalah yang terbaik dan paling mahal tetapi baginda hidup sederhana.

“Kenapa unta baginda terbaik, sebab ia kenderaan untuk berdakwah tanpa kenderaan yang baik bagaimana baginda nak pergi ke sesuatu tempat untuk berdakwah dan berperang,” katanya.

Sebelum ini, tersebar di laman sosial, Mohd. Amar memilik beberapa jenis kereta mewah seperti Range Rover dan Toyota Velfire.

Mohd. Amar mengakui kesemua kenderaan tersebut adalah miliknya. – 7 Sept 2015.