Kaunselor Kata Trauma Norieen, Mirsudiar Pulih Dalam Tempoh Dua Bulan

Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, dua kanak-kanak Orang Asli yang ditemukan selamat dijangka pulih daripada trauma dalam tempoh dua bulan.

Kauselor dari Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan yang ditugaskan merawat kedua kanak-kanak tersebut, Nik Mas Nik Ismail berkata, Norieen dan Mirsudiar akan menjalani rawatan kaunseling sekurang-kurangnya dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

Beliau berkata, selepas menjalani rawatan tersebut, pihaknya menjangkakan kedua kanak-kanak ini bakal pulih seterusnya bersedia sepenuhnya untuk menceritakan kejadian yang berlaku sebelum ini.

Katanya, sejak menerima rawatan kaunseling pada hari pertama dan kedua, kanak-kanak ini jelas menunjukkan reaksi tidak senang sebaik diajukan soalan mengenai tragedi tersebut.

“Buat fasa permulaan, kita cuba menjalin hubungan dengan dua kanak-kanak ini supaya mereka senang dengan kehadiran kami selain ingin meningkatkan kepercayaan Norieen dan Mirsudiar terhadap orang lain.

“Dalam tempoh terdekat ini, kita cuba sebaik mungkin untuk menceriakan mereka dengan mencari apa hobi dan mainan yang mereka suka.

“Sebaik kita melihat keadaan emosi mereka kembali stabil, kita akan cuba bertanyakan kejadian sebenar yang berlaku,” katanya ditemui pemberita pada Khamis.

Sementara itu,  Nik Mas turut mengakui trauma yang dialami kanak-kanak itu cukup kuat dan untuk menceritakan perkara sebenar yang berlaku adalah amat sukar.

“Kita jangka sekurang-kurangnya mengambil masa dua bulan bagi membolehkan mereka bercerita perkara itu. Apa yang penting, kita perlu menjalin hubungan supaya mereka rasa percaya kepada kita untuk menceritakan mengenai kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, sejak dua kanak-kanak berkenaan dimasukkan ke hospital, berat badan mereka bertambah sebanyak 2.5 kilogram.

“Kita menjangkakan kanak-kanak berkenaan akan dirawat di hospital selama sebulan sebelum dihantar ke Pusat Rehibilitasi untuk rawatan psikologi.

“Bagaimanapun, setakat ini, maklum balas yang diterima dua kanak-kanak itu semakin baik dan sudah mampu tersenyum,” katanya. – 16 Okt 2015.