TPPA dan Kesan Buruk Kepada Kita

Setiap yang baik ada buruknya. Kata orang duit sekupang pun ada dua muka, (a coin has two sides). Sebab itulah YAB PM mengambil pendekatan untuk membawa teks perjanjian TPP ke Parlimen dan dibentangkan bersama-sama dua kajian kos-faedah (Cost-Benefit Analyses – CBA).

CBA ini dikendalikan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan juga oleh PricewaterhouseCooper (PwC). Perjanjian perdagangan bebas (FTA) termasuklah perjanjian TPP ini sebenarnya tidak perlu untuk dibawa ke Parlimen, tetapi YAB PM memilih Parlimen sebagai satu proses domestik yang perlu dilalui supaya teks ini dapat dibahas baik buruknya berlandaskan teks perjanjian dan dua CBA tersebut, seterusnya diundi.

Menerusi pengamatan saya, kebanyakan kebimbangan terhadap TPPA adalah berlandaskan sentimen anti Amerika, anti Israel dan juga sentimen ketakutan kehilangan pendapatan di kalangan usahawan dan kontraktor Bumiputera dan PKS. Kebimbangan-kebimbangan ini telah diperjelaskan oleh Menteri dan kementerian berkaitan. Kebanyakan kebimbangan ini tidaklah berasas.

Perjanjian TPP bukan sahaja mendapat penentangan dari segelintir penduduk Malaysia, tetapi juga terdapat penentangan serius dan tersusun di kalangan petani, penternak, pengusaha automobil, kesatuan sekerja, pertubuhan hak asasi dan ahli-ahli politik di Amerika Syarikat, Australia, Kanada dan New Zealand.

Penternak Amerika dan Kanada contohnya risau kepada produk pertanian, tenusu dan daging dari Australia dan New Zealand. Pada waktu sama ada pihak di sana juga risau kepada kebanjiran kereta Jepun akan menyebabkan kilang-kilang automobil disana tidak lagi dapat bersaing. Pejuang hak asasi di Amerika juga risau dengan rekod kemanusian Malaysia dan Brunei, pada waktu sama mereka juga tidak berpuas hati dengan standard kebajikan buruh di Malaysia dan Vietnam.

Pendek kata, kalau anda bimbang tentang perjanjian TPP, anda tidaklah keseorangan. Bagaimanapun, kita harus mengambil pendekatan ilmiah dan rasional.

Apakah kebimbangan-kebimbangan sebenar yang harus membuat kita meneliti teks perjanjian ini dan dua CBA ini dengan penuh tekun? Di bawah saya cuba berspekulasi tentang kebimbangan-kebimbangan yang saya rasa ada asasnya.

(1) Kebimbangan TPPA akan menyebabkan harga barang semakin mahal.

Sekali lalu, saya merasakan sepatutnya kos barangan pengguna yang diimport dari Amerika, Kanada, Mexico dan Peru akan menjadi lebih murah di pasaran kerana sebelum ini Malaysia tidak mempunyai FTA dengan negara-negara ini. Bagaimanapun, mekanisme penentuan harga barang bukan sekadar tertakluk kepada rejim percukaian. Terdapat banyak faktor lain seperti kos pengangkutan, tukaran matawang dan penawaran.

Apa yang membimbangkan saya ialah kemungkinan akan berlaku kenaikan harga produk tempatan itu sendiri. Ini kerana kita sedia maklum bahawa apabila kita memeterai perjanjian TPP, negara akan tertakluk kepada standard yang lebih tinggi di dalam hal-hal seperti buruh, alam sekitar, hidupan liar dan keselamatan awam, antaranya. Kebanyakan hal ini sudah tertakluk di dalam perundangan negara tetapi penguatkuasaannya terpaksa diperketatkan. Contohnya di dalam hal berkaitan gaji minimum, dan pencerobohan hutan serta cerun untuk tujuan pertanian.

Penguatkuasaan yang lebih ketat akan meningkatkan kos operasi kepada pengusaha sektor tersebut. Peningkatan kos ini selalunya akan diletak beban tanggungannya kepada konsumer.

Standard yang saya sebut di atas adalah sesuatu yang baik. Kita sebagai rakyat berkali-kali menekankan perlunya standard berhubung alam sekitar, kebajikan dan keselamatan yang lebih baik. Tetapi standard ini tidak datang dengan percuma. Selama ini kerajaan berusaha mengimbangi antara standard dan kesan ke atas konsumer.

(2) Kebimbangan TPPA akan menyebabkan peningkatan kos perkhidmatan.

Sama seperti arguemen pertama tadi, peningkatan standard dan penguatkuasaan yang lebih ketat terutamanya di dalam aspek buruh akan menyebabkan peningkatan kos operasi. Peningkatan ini jika benar berlaku dibimbangi akan terpaksa ditanggung oleh pengguna.

(3) Kebimbangan TPPA akan menyebabkan kebanjiran pekerja-pekerja asing.

Perjanjian TPP tidak melibatkan persoalan imigresen dan kemasukan buruh dari luar negara. Bagaimanapun, ia secara tidak langsung berpotensi menyebabkan kebanjiran buruh asing.

Pengusaha dan pengilang dari Amerika Syarikat dijangka akan meningkatkan pelaburan di negara-negara seperti Malaysia dan Vietnam. Ini bagi membolehkan mereka menikmati kos operasi yang lebih rendah dengan peraturan-peraturan setempat yang lebih longgar serta dapat mengeksport semula ke Amerika dan menikmati penghapusan tariff.

Kebaikan untuk negara kita ialah peningkatan peluang pekerjaan. Tetapi siapakah yang akan mengisi peluang perkejaan tersebut? Di waktu teknokrat dan birokrat tempatan mendapat peluang menikmati pendapatan dan faedah yang lebih baik, siapakah yang akan mengisi jawatan buruh? Maka wujud kebimbangan akan bertambahlah kebanjiran buruh-buruh asing di negara kita. Kebanjiran mereka juga akan dikaitkan dengan peningkatan masalah sosial di dalam negara.

Secara keseluruhan, arguemen saya terbatas kepada spekulasi impak peningkatan standard yang dimajukan dalam perjanjian TPP. Impak ini juga berkemungkinan dirasai oleh nelayan, penternak dan petani tradisional.

Standard yang lebih tinggi dan kemakmuran yang akan dicapai dari pembukaan pasaran perlu dialu-alukan. Tetapi, apakah implikasi negatifnya akan mengatasi implikasi positif. Itulah pertimbangan yang perlu kita teliti. Pertimbangan ini perlu perhalusi dengan terbuka dan kewarasan oleh rakyat. Bukan dengan emosi dan sentimen sempit.

Kerajaan pula perlu menjelaskan pendekatan-pendekatan yang akan dicadangkan bagi memastikan implikasi negatif tidak membebankan rakyat. Seperti saya jelaskan, arguemen ini sekadar spekulasi. Ia bersandarkan ‘part and parcel’ kemajuan. Kata orang, semua benda dalam dunia hari ini ada kos, tidak ada yang percuma. Jadi jika kita mahukan standard yang lebih baik, kemakmuran dan kemajuan yang lebih pesat, pendapatan yang lebih tinggi, kita perlu bersedia membayar kosnya.

Syed Azidi Syed Abdul Aziz

*Tulisan ini adalah pandangan peribadi pengarang, ia tidak semestinya mewakili pandangan Sokmo.Net.