Kelantan Perlu Keajaiban Di Selayang

Kelantan memerlukan keajaiban dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Majlis Pembandaran Selayang (MPS) dengan menumpaskan Felda United jika mahu menghidupkan semula peluang untuk mara ke saingan suku akhir.

Pengendalinya, Zahasmi Ismail berkata, kemenangan ke atas Felda United amat penting buat The Red Warriors dan itu adalah pilihan terbaik buat mereka jika mahu meneruskan cabaran dalam saingan musim ini.

Menurutnya, walaupun tugas itu tampak sukar namun beliau tetap menaruh kepercayaan barisan pemain The Red Warriors mampu melakukan keajaiban dengan menumpaskan pasukan berkenaan.

“Saya akui Felda United bukan calang-calang pasukan, mereka dibarisi ramai pemain berkualiti ditambah pula dengan percaturan taktikal dari pengendalinya Irfan Bakti Abu Salim yang cukup licik memberikan kelebihan kepada mereka.

“Begitu kita tidak akan memberikan laluan mudah buat mereka. Jadi Kelantan akan mempertaruhkan barisan terkuat berdepan mereka dalam misi meraih kemenangan,” katanya.

Tambahnya, beberapa pemainnya yang sebelum ini mengalami kecederaan dilihat sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk diturunkan.

Zahasmi memberitahu, dia turut lega apabila melihat moral barisan pemain Kelantan kini berada pada tahap terbaik untuk berdepan dengan Felda United.

Katanya, situasi itu memberikan peluang kepadanya untuk menyediakan ramuan lengkap berdepan Felda United dan seterusnya meraih kemenangan.

“Saya nampak pemain begitu bersungguh-sungguh sepanjang latihan berlangsung dan mereka seolah-olah mahu menang pada perlawanan itu nanti,” ujarnya.

Zahasmi memberitahu, rekod tanpa kalah di Selayang berdepan Felda United sebelum ini menjadi pembakar semangat buat Kelantan memperagakan aksi terbaik nanti.

Selepas mengharugi empat perlawanan Kelantan kini menghuni tangga tercorot Kumpulan dengan mengumpul 4 mata hasil satu kemenangan, seri dan dua kalah. – 17 Okt 2015.