MITI Kelantan Terus Mempergiatkan Sesi Penerangan Mengenai FTA

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Cawangan Kelantan akan terus mempergiatkan lagi penerangan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dalam usaha menggalakkan usahawan di negeri ini merebut peluang meluaskan pasaran mereka.

Pengarahnya, Azran Deraman berkata, menerusi sesi penerangan tersebut, ia membantu memberi pendedahan secara terperinci mengenai fungsi serta manfaat yang akan diperolehi hasil daripada FTA.

“Taklimat ini adalah salah satu usaha MITI untuk turun ke bawah bagi membantu memberi kefahaman kepada syarikat, industri serta usahawan mengenai FTA serta faedah yang bakal dinikmati menerusinya.

“Sudah menjadi hasrat MITI untuk menggalakkan usahawan mengambil peluang daripada perluasan pasaran dan dagangan antarabangsa yang semakin terbuka hasil daripada FTA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Pocket Talk MITI mengenai manfaat FTA hari ini.

Azran berkata, setakat ini syarikat berimpak tinggi seperti pengeluar barangan elektronik dan sumber asli seperti getah di negeri ini sudah berupaya mengeksport produk mereka hingga ke beberapa negara menerusi FTA.

“Setakat ini, lebih 20 buah syarikat di negeri ini telah merebut peluang menerusi FTA di mana mereka bukan sahaja dapat meluaskan pasaran malah turut menikmati pengurangan cukai.

“Oleh sebab itu, peluang ini perlu direbut oleh semua golongan usahawan tanpa mengira syarikat besar atau IKS di negeri ini dan amat rugi sekiranya kesempatan ini tidak dimanfaatkan,” katanya.

Beliau berkata, sesi penerangan FTA akan diteruskan dan diperbanyakkan di setiap daerah termasuk mengadakan pertemuan bersama ahli-ahli dewan perniagaan Melayu, Cina dan India.

“Selepas ini, kita akan mengadakan taklimat khas di daerah Gua Musang dan ia akan dilaksanakan dalam kelompok kecil supaya dapat berinterasksi dengan lebih jelas dan terperinci mengenai sesuatu permasalahan.

“Seperti biasa, taklimat dan penerangan ini akan membabitkan enam agensi di bawah MITI termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang akan menerangkan mengenai prosedur keluar masuk barangan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Azran berkata, MITI akan menganjurkan klinik keusahawanan bumiputera untuk usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di negeri ini pada akhir Oktober ini.

“Melalui klinik keusahawanan ini, kita akan membantu usahawan dalam pasaran, peningkatan produk, membina keyakinan dan sebagainya,” katanya. – 19 Okt 2015.