Pusat Memperuntukkan RM600,000 Bina Jambatan Baharu Kampung Pulau Raya

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi membina jambatan baharu di Kampung Pulau Raya, Tanah Merah selepas jambatan lama rosak dilanda banjir besar pada Disember tahun lalu.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd. Aziz berkata, pembinaan jambatan sepanjang kira-kira 200 meter itu akan dimulakan dengan kadar segera dan dijangka siap pada hujung tahun ini.

Beliau berkata, jambatan baharu itu bagi memudahkan kira-kira 1,000 penduduk melibatkan beberapa buah kampung sekitar berulang alik ke sekolah, pasar, hospital serta kebun getah dan dusun.

“Jambatan ini adalah penghubung di antara Kampung Pulau Raya dan Kampung Jelatok dan ia perlu dibaiki segera bagi memberi kemudahan kepada penduduk. Oleh itu, sejumlah RM600,000 diperuntukan untuk bina baharu jambatan berkenaan.

“Walau bagaimanapun, untuk pendahuluan sebanyak RM100,000 disalurkan untuk perlaksanaan kerja-kerja awal dan ia akan dimulakan serta-merta,” katanya selepas meninjau kerosakan jambatan dan menyampaikan cek untuk pembinaan jambatan tersebut pada Isnin.

Ikmal Hisham berkata, jambatan tersebut akan dibina lebih tinggi berbanding sebelum ini bagi mengelak ditenggelami air ketika banjir.

“Sebelum ini, kita telah membantu menyalurkan peruntukan berjumlah RM5,000 untuk baikpulih jambatan berkenaan, namun ia kembali rosak selepas banjir besar melanda tahun lalu.

“Oleh itu, untuk pembinaan baharu ini, kita akan membina lebih tinggi serta lebih selamat untuk keselesaan penduduk di sekitar kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Pulau Raya, Wee Son Heng, 52, berkata, pihak amat berterima kasih diatas keprihatinan kerajaan yang sentiasa membantu memberi kemudahan kepada rakyat.

“Dengan adanya jambatan baharu ini, kami kini sudah mampu menarik nafas lega dengan adanya jambatan baharu ini kerana ia adalah satu-satu penghubung serta laluan untuk ke kampung sebelah sekiranya berlaku banjir.

“Oleh itu, kami juga berterima kasih kepada Datuk Ikmal Hisham yang banyak berusaha memberi keselesaan kepada warga Tanah Merah khususnya,” katanya. – 20 Okt 2015.