Utusan Kalah, Diarah Bayar RM200,000 Kepada Anwar

Akhbar Utusan Melayu (Malaysia) Bhd semalam diarah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membayar RM200,000 bersama faedah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memfitnahnya.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan tersebut selepas mendapati artikel yang diterbitkan defendan dibuat dengan berniat jahat dan defendan telah gagal membuktikan pembelaan justifikasi dalam kes saman itu.

Selain kos guaman sebanyak RM8,000, mahkamah juga memerintahkan Utusan dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak selaku defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk, masing-masing sebanyak RM100,000 kepada Anwar selaku plaintif.

Pada 21 Januari 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham membenarkan tuntutan saman Anwar dengan memutuskan dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu pada 17 Januari 2012 berhubung temu bual Anwar dengan BBC, adalah fitnah.

Anwar memfailkan saman fitnah itu pada 10 Jan 2012 bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan defendan telah menerbitkan dua artikel di muka depan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Jan tahun sama, berhubung temu bual beliau dengan BBC.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah telah memberikan gambaran bahawa beliau adalah seorang pemimpin Muslim yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran Islam. – 20 Okt 2015.