Gaji Naik, Dilema Guru YIK Belum Selesai

Ketika tunggakan caruman RM14.6 juta mengundang dilema guru-guru Yayasan Islam Kelantan (YIK) belum pun selesai, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Isnin meluluskan kenaikan elaun Menteri Besar, Speaker serta timbalannya, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), berkuat kuasa 1 Januari depan.

Kelulusan itu diumumkan selepas menerima cadangan daripada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob agar Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 dipinda.

Rang Undang-undang Enakmen Saraan Anggota-Anggota Pentadbiran dan ADUN 1980 (Pindaan 2015) itu membabitkan kenaikkan elaun Menteri Besar daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan; Timbalan Menteri Besar, (RM8,800 kepada RM13,000): Exco serta Speaker DUN, (RM6,000 kepada RM10,000) dan ADUN (RM4,600 kepada RM8,000).

Semakan terakhir membabitkan penyelarasan elaun anggota pentadbiran dan ADUN Kelantan dilakukan pada tahun 2010.

Ahmad berkata, kenaikan tersebut wajar sebagai mengambil kira komitmen daripada pihak berkenaan termasuk wakil rakyat.

Beliau berkata, pada masa ini kenaikan gaji wakil rakyat kekal kepada RM8,000 meskipun pihak pembangkang mencadangkan agar dinaikkan sehingga RM11,000.

“Kenaikan itu mengikut situasi semasa pada waktu ini, penyelarasan elaun itu akan terus dikaji daripada masa ke semasa mengikut keupayaan kerajaan negeri.

“Saya berharap kenaikan elaun ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua pihak terlibat termasuk ADUN yang bertanggungjawab bekerja untuk rakyat,” katanya.

Baru-baru ini ADUN Salor, Datuk Husam Musa mendedahkan dilema guru-guru yang bernaung di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) apabila wang caruman berjumlah RM14.6 juta tidak dibayar oleh yayasan tersebut sedangkan gaji mereka dipotong.

Menurut Husam, sehingga September, jumlah tunggakan potongan pelbagai jenis pinjaman guru-guru berkenaan kini sudah mencecah RM14.6 juta.

“Gaji guru dipotong oleh YIK untuk caruman tetapi YIK tidak menjelaskan caruman itu kepada agensi terlibat sehingga menjadi tertunggak.

“Bayaran caruman kepada Koperasi Maik (Majlis Agama Islam Kelantan) umpamanya, telah terhenti sejak Jun 2014.

“Sehingga September 2015, jumlah tunggakan caruman mereka kepada Koperasi Maik sahaja sudah berjumlah RM5,188,381!,” katanya.

Husam memberitahu, tunggakan juga berlaku kepada sejumlah 21 jenis caruman pelbagai jenis agensi seperti Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Tunggakan berkenaan menggambarkan kedudukan kewangan negeri adalah tenat.

Dalam sidang DUN pada Isnin Kerajaan PAS Kelantan mengakui perkara itu dan lebih memeranjatkan apabila tunggakan itu diakui berlarutan sejak 2001.

Semasa menjawab soalan tambahan Datuk Md. Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berhubung perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan negeri bagaimanapun mempunyai pelan tersendiri bagi membayar semula caruman berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli berkata, jadual pembayaran semula tunggakan turut terjejas apabila yayasan tersebut tidak menerima sejumlah RM10 juta yang sepatutnya diperolehi daripada pelaburan.

“Kita telah mengambil langkah untuk menuntut RM10 juta tersebut daripada syarikat terbabit,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, jumlah tunggakan caruman itu kini menurun kepada RM12.6 juta selepas bayaran sebanyak RM2 juta dibuat baru-baru ini. – 3 Nov 2015.