Pengusaha Vape Rugi RM30,000 Disamun

Seorang pengusaha kedai rokok elektronik (Vape) kerugian RM30,000 selepas premisnya dimasuki dua perompak bersenjatakan parang dalam kejadian di kampung Pasir Pekan pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, hanya dua pekerja sahaja berada di dalam premis tersebut manakala pemiliknya, Mohd Arif Junaidden, 26, berada di tingkat atas.

Mohd Arif berkata, dia mengetahui kedai dirompak selepas pekerjanya naik ke tingkat atas dengan tangan terikat.

“Saya turun ke bawah tetapi sudah terlambat kerana perompak itu sudah melarikan diri.

“Pelbagai jenis vape, bateri dan aksesori vape lesap yang dianggarkan bernilai RM30,000,” katanya.

Mohd. Arif memberitahu, pekerjanya tidak mengenali perompak itu kerana memakai topeng muka dan sarung tangan.

Katanya, mengikut maklumat pekerjanya, kejadian itu begitu pantas sekali apabila didatangi dua perompak yang pada mulanya disangka pelanggan.

“Sebelum kejadian, pekerja saya telah tarik separuh pintu besi dan jeriji tidak dikunci.

“Apabila perompak itu berada di depan pintu, pekerja saya telah keluar untuk membuka pintu kerana disangka pelanggan” ujarnya.

Tambahnya, ketika pekerjanya menjengguk kepalanya di luar pintu itu, salah seorang perompak terus mengacukan parang di leher dan mengarahkan masuk ke dalam kedai dan mengikat tangan mereka serta meminta diamkan diri.

Perompak itu kemudiannya melarikan diri menaiki kereta wira menghala ke bulatan Pasir Pekan selepas mendapat habuannya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian tersebut. – 4 Nov 2015.