Bisa Anak Pasir Pekan

Sepanjang hampir enam dekad menghambakan diri dalam dunia sastera, seorang penulis kelahiran Pasir Pekan bernama Fatimah Busu mempunyai banyak sebab untuk berasa sedih dan kecewa.

Ketika mahu memulakan langkah sekitar awal era 60-an, dunia itu umpama tidak cukup tanah. Karyanya yang mahu ditumpang jual di toko-toko buku tempatan ditolak mentah-mentah.

Alasan si taukeh, Fatimah bukan penulis ternama. Bukunya tidak layak disusun bersama hasil tulisan pengkarya lain yang gah-gah belaka. Akhirnya buku beliau diedarkan sendiri dari tangan ke tangan.

Apabila berjaya membina reputasi menerusi karya-karya berkualiti, Fatimah tetap diuji. Sebagai seorang penulis wanita, kredibilitinya diragui. Beliau dicemburui manakala ketegasan dan kelantangannya dalam pelbagai situasi pula didendami.Dr. Fatimah Busu @ Che Su

Pada Mac 1997, penyiaran sebuah artikel tanpa nama penulis, ‘Heboh Fasal Sasterawan Fatimah Busu’ di akhbar tempatan menjadi antara ujian yang paling berat serta memberi kesan dalam hidupnya.

“Apa yang lebih dahsyat, akibat penyiaran artikel itu, aku disisih, dipulau dan dilupakan khalayak sastera tanah air selama enam tahun, ia bagaikan satu sumpahan!

“Hingga majalah Dewan Sastera September 1999, tidak iktiraf aku sebagai salah seorang penulis abad ke-20. Dalam masa itu, tidak ada majalah dan akhbar sudi menyiarkan karya-karyaku,” rintihnya.

Rintihan itu dikongsi dalam cerpen ‘Kelopak-Kelopak Bunga Pahit’ yang dimuatkan dalam kumpulan cerpen ketujuh beliau, ‘Kelopak Bunga Pahit’ yang diterbitkan tahun lalu.

Diskriminasi pihak tertentu dalam institusi bahasa terhadap beliau tidak berhenti di situ. Terbaharu, Fatimah dikatakan menjadi mangsa ‘pilih kasih’ apabila dinafikan gelaran Sasterawan Negara meskipun beliau sebenarnya sudah terlebih layak.

Bagaimanapun, tanggal 25 November 2015 bertempat di Hotel Perdana, Kota Bharu memberi sebab untuk beliau berasa gembira dan tersenyum seketika melupakan segala tragedi silam.

Ibu tunggal berusia 72 tahun ini merangkul Anugerah Sastera Negeri Kelantan yang membawa gelaran Sasterawan Negeri Kelantan 2015.

Selain gelaran, beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, songket serta watikah. Anugerah berprestij itu disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Indahnya momen kali ini, Fatimah pengkarya wanita pertama diberi pengiktirafan tertinggi itu. Kali terakhir anugerah sama diadakan adalah 12 tahun lalu dengan S. Othman Kelantan dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Kelantan 2003.

Dan lebih manis, pemilihan tersebut dibuat sebulat suara oleh ahli panel, sekali gus membuktikan kehebatan wanita bernama Fatimah ini sukar ditandingi.

Menurut Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, Fatimah dipilih kerana memenuhi banyak kriteria. Fatimah tegas beliau, tokoh paling tepat untuk memakai gelaran itu.

Paling utama kata Syed Danial, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu memberi sumbangan tidak terperi terhadap pengembangan sastera menerusi karya berkualiti serta memberi impak dalam penyebaran ilmu kepada masyarakat.

Nukilan Fatimah memenangi Hadiah Sastera Malaysia kategori Cerpen (1971-1976 dan 2005/2006), Hadiah Sastera Perdana kategori Cerpen dan Buku Kajian (1982/1983, 1984/1985, 1994 dan 2012) serta Hadiah Sastera DBP-Maybank (1996 dan 1997).

Wanita ini telah menghasilkan tujuh buah kumpulan cerpen iaitu Lambaian Tanah Hijau (1980), Yang Abadi (1980), Keajaiban Alam (2003), Bunga-Bunga Pulau (2005), Aduhai (2009) dan Kelopak Bunga Pahit (2014).

Sebanyak sembilan cerpen tulisan beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia manakala tiga cerpen lagi memenangi Hadiah Sastera Perdana.

Pada 2014, karyanya bertajuk ‘Ciri-ciri Satira dalam Novel Melayu dan Afrika Moden memenangi Hadiah Sastera Perdana kategori Buku Kajian. Pada 2012, Esei bertajuk ‘Salah Tanggapan Tentang Interlok’ pula memenangi Hadiah Sastera Malaysia.

Sehingga kini, 10 cerpen beliau telah dijadikan bahan teks Komponen Sastera (Komsas) untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia (STPM).

Kumpulan cerpen Fatimah yang tidak pernah lari daripada konsep etnografi berlatarkan masyarakat Kelantan juga diterjemah ke dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Perancis, Belanda, Jerman dan Denmark.

Mengakui terharu sumbangannya diiktiraf, Fatimah berkata, anugerah itu merupakan satu perkara paling bersejarah dalam hidupnya memandangkan beliau tidak pernah menerima sebarang penghormatan sebegitu.

“Orang lain ada gelaran, tunjuk muka dalam semua majlis di Kuala Lumpur dan menulis tiga antologi cerpen sudah boleh jadi Sasterawan Negara, saya pula tidak ada gelaran apa-apa. Tiada Datuk. Tidak pula terima Sea Write Awards, atau Hadiah Mastera.

“Saya hanya berpegang kepada hadis Rasulullah yang berbunyi sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. Semoga anugerah ini tidak membuat saya takbur,” katanya.

Kreatif, kritis dan sinis. Itulah Fatimah Busu. Kanvas hidupnya mungkin diconteng dengan sepak terajang yang tidak berpenghujung.

Namun sepak terajang itulah juga yang mengentalkan jati diri beliau. Disepak atau diterajang, bisanya tidak pernah hilang.