Akar Umbi Mahu PAS, UMNO Bersatu

Akar umbi UMNO dan PAS mahu melihat penyatuan kedua-kedua parti tersebut meskipun Majlis Syura Ulama PAS menegaskan parti itu tidak akan menyertai Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Institusi Modenisasi Pemikiran Anak Kelantan (IMPAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, kerjasama kedua-dua parti itu cukup penting bagi meneruskan survival Melayu dan Islam yang dilihat semakin berpecah-belah.

Katanya, PAS juga perlu berhenti daripada terus bermain politik mengenai perkara tersebut sehingga menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan rakyat.

“Saya melihat kerjasama kedua-dua parti Melayu itu masih tetap ada meskipun Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan. Pengalaman kita melihat sesuatu keputusan yang dibuat oleh PAS sebelum ini sering kali bercanggah.

“PAS jangan hanya melihat kepada keuntungan politik semata-mata sebaliknya harus menyelami kemahuan rakyat yang ingin melihat kekuatan Melayu dan Islam. Rakyat sudah jemu melihat perpecahan ini ,” katanya ditemui hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Nik Mohd. Zawawi Salleh dalam sebuah portal berita kelmarin mengenai keputusan majlis itu memutuskan bahawa parti tersebut tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan BN.

Sebaliknya, Nik Mohd. Zawawi berkata, parti tersebut terbuka bekerjasama dengan mana-mana pihak melibatkan soal agama Islam.

Sementara itu, Predien Angkatan Generasi Melayu Muda Kelantan (Agenda), Mohamad Zaidan Abdul Rahim pula berkata, beliau sentiasa menyokong sebarang bentuk kerjasama UMNO dan PAS demi kepentingan umat Islam di negara ini.

Meskipun mengakui perkara itu bukan sesuatu yang mudah, beliau bagaimanapun tetap yakin kerjasama tersebut akan menjadi kenyataan sekiranya kedua-dua pihak terus berusaha mencari titik persamaan.

“Sebarang usaha penyatuan melibatkan kedua-dua parti ini perlu disegerakan demi survival politik Melayu dan Islam di negara ini. Barisan kepemimpinan PAS dan UMNO juga perlu duduk semeja, ibarat buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Dalam politik, tidak kira UMNO atau PAS, masing-masing ada kelemahan namun perlu mencari titik persamaan. Semoga kita sentiasa berjiwa besar demi memastikan perjuangan menegakkan agama Islam dan tanah air terus dipertahankan,” katanya. – 7 Januari 2016.