UMNO Kedah Buat Keputusan Sukar Demi Rakyat

Pemimpin UMNO Kedah dan wakil rakyatnya membuat keputusan paling sukar apabila menyatakan pendirian hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, jika benar tidak wujud masalah dalam pentadbiran di negeri itu, adalah mustahil untuk kesemua pemimpin berkenaan sepakat membuat keputusan tersebut.

Oleh sebab itu, katanya, pendirian mereka wajar dihormati, lebih-lebih lagi keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat Kedah.

“Tidak mudah untuk semua bahagian boleh bersatu menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Kedah. Ini bukan main-main. Tiga orang pun susah mahu berpakat, inikan pula 14 pemimpin yang menyatakan perkara sama. Tentu ada masalah.

“Kita kena melihat mereka membuat keputusan sebesar ini kerana mereka lebih mengetahui keadaan sebenar di kawasan masing-masing dan tidak akan ada pemimpin mahu berbuat begitu jika tidak demi orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) Kali Ke-5 serta sesi pemilihan barisan jawatankuasa eksekutif kelab itu, pada Jumaat.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mewakili seluruh kepemimpinan dan wakil rakyat negeri itu mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar.

Mengulas lanjut, Mohamad Fatmi yang juga Pengerusi Kumpulan Utusan meminta semua pihak bertenang dan beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO mampu menyelesaikan kemelut berkenaan secara bijaksana. – 23 Januari 2016.