Tangguhkan Aktiviti Luar Kelas Pada Musim Panas

Kementerian Pendidikan meminta semua sekolah memberhentikan sementara aktiviti di luar bilik darjah ekoran cuaca panas melampau akibat fenomena El-Nino.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagaimanapun sesi persekolahan akan tetap diteruskan seperti biasa sehingga dimaklumkan kelak.

“Kita akan tunggu maklumat daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, sebab itu kalau kata nak tutup sekolah atau hendak buat apa-apa kita mesti dapatkan keputusan daripada Jawatankuasa Khas di peringkat kebangsaan sama seperti jerebu dahulu.

“Untuk sementara ini, semua aktiviti di luar bilik darjah diberhentikan atau tidak diadakan, pekeliling mengenai perkara ini sudah dikeluar minggu lepas,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Sakti di sini hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan melalui satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini meminta Jabatan Pendidikan Negeri, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan sekolah supaya membuat pemantauan rapi terhadap kesihatan murid-murid termasuk memastikan bekalan air minuman bersih sama ada disediakan kantin sekolah atau selainnya mencukupi.

“Pihak sekolah juga hendaklah menggalakkan murid-murid membawa air minuman sendiri ke sekolah. Pihak sekolah juga hendaklah mematuhi surat pekeliling dan siaran berkaitan yang dikeluarkan kementerian sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, semua pihak khususnya ibu bapa dan murid-murid juga hendaklah sentiasa mendapatkan maklumat rasmi daripada pihak kementerian yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa dalam menangani fenomena ini. – 19 Mac 2016.