UMNO Kelantan Pertahan Perdana Menteri

Seluruh ketua-ketua UMNO Bahagian dan kepimpinan akar umbi UMNO dari seluruh negeri ini menyatakan sokongan padu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus memimpin negara selain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamed yang sanggup bersekongkol dengan pemimpin-pemimpin pembangkang bagi menjayakan agenda menjatuhkan Najib.

Sokongan itu diterjemahkan dalam satu deklarasi yang dibacakan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam Perhimpunan Deklarasi UMNO Kelantan yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam himpunan tersebut, pemimpin-pemimpin UMNO negeri juga sepakat menandatangani deklarasi yang mengandungi tujuh perkara sebagai bukti sokongan tersebut dan mengutuk cubaan pakatan itu untuk menjatuhkan pemimpin negara dengan cara bertentangan dengan amalan demokrasi.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya dan amat kesal dengan tindakan Dr. Mahathir yang sanggup bekerjasama dengan pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang bagi menjatuhkan Perdana Menteri.

“Kami juga bersetuju mendesak Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin parti memecat mana-mana ahli UMNO yang terlibat dengan pakatan Tun Mahathir-pembangkang.

“Selain itu, kami juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan segelintir pemimpin UMNO yang masih memegang jawatan khususnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Sri Mukhriz Mahathir yang bersubahat dengan agenda pembangkang menjatuhkan Perdana Menteri,” kata Mustapa ketika mengetuai bacaan deklarasi tersebut di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asraf Wajdi Dusuki serta seluruh ketua-ketua UMNO Bahagian dan kepimpinan akar umbi UMNO negeri ini.

Sementara itu Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, seluruh ahli UMNO tidak boleh menerima mana-mana pemimpin atau bekas pemimpin parti itu yang sanggup bersama pembangkang terutama DAP.

“Sebagai parti yang menegakkan Islam dan menjaga kepentingan orang Melayu, kita rasa kesal dan kecewa dengan tindakan pihak yang cuba merosakkan parti dengan cara tersebut,” katanya. – 19 Mac 2016.