2,000 cawangan UMNO Kelantan Tolak Gesaan TUN M Tolak Perdana Menteri

Lebih 2,000 cawangan UMMO seluruh negeri ini memberi kepercayaan dan menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua ahli sedia mempertahankan kedudukan Najib dan kerajaan sedia ada.

Ujarnya, sebarang tindakan yang cuba dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad termasuk melalui penyebaran surat terbuka bagi mempengaruhi ahli UMNO peringkat bawahan bukanlah menjadi satu ancaman.

“Sekarang dunia terbuka dan maklumat sampai dalam ‘real-time’, tidak kiralah sama ada surat (Dr. Mahathir) dihantar atau tidak kepada cawangan-cawangan, mereka ini tetap bersama kita, ada 2,000 cawangan UMNO di Kelantan.

“Setakat ini tidak ada ketua-ketua cawangan yang kita kesan tidak akur dengan Najib, kebanyakan cawangan di Kelantan sedia mendokong dan mempertahankan Perdana Menteri,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Warga Wisma Persekutuan Kota Bharu (WPKB) di pekarangan wisma tersebut di sini hari ini.

Menerusi entri blog chedet bertajuk ‘surat kepada ahli-ahli UMNO’ yang dimuat naik kelmarin, Dr. Mahathir meminta ahli UMNO yang sayangkan perjuangan asal parti membantunya menyelamatkan UMNO dan negara.

Dr. Mahathir juga meminta ahli UMNO mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Najib sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri dibuat pada mesyuarat UMNO cawangan. – 20 Mac 2016.