Subsidi Lesen Untuk Pelajar Sekolah

UMNO Bahagian Machang bersedia menawarkan subsidi kepada pelajar yang berminat untuk memiliki lesen dalam usaha untuk menangani masalah pelajar sekolah yang menunggang motosikal tanpa lesen.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan setiap pelajar yang menggunakan motosikal untuk ke sekolah memiliki lesen masing-masing.

“Kita akan berbincang dan jika perlu, saya sedia menawarkan subsidi kepada pelajar yang berminat bagi mengurangkan beban perbelanjaan ibubapa dan memastikan semua pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah di daerah ini berlesen.

“Saya memandang serius perkara ini kerana difahamkan kira-kira 400 pelajar di daerah ini yang menunggang tanpa lesen. Ia merupakan angka yang cukup besar,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Sekolah Kebangsaan Machang 2, di sini,hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah JPJ (Pengurusan), Datuk Ariffin Che Mat.

Pada majlis tersebut, kira-kira 300 peserta yang mengikuti program berkenaan telah berjaya menamatkan kursus memandu dan menerima lesen masing-masing.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, keperluan lesen memandu bukan hanya sekadar mengelakkan daripada di saman oleh pihak polis atau JPJ tetapi ia adalah untuk memastikan penunggang serta pemandu sentiasa dilindungi insurans jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Saya syorkan JPJ masuk ke sekolah-sekolah dan memberi penerangan mengenai program MyLesen kerana saya percaya masih ramai yang masih tidak tahu mengenai kemudahan program tersebut.

“Selain memiliki lesen, mematuhi undang-undang juga perlu dititikberatkan masyarakat ketika memandu kenderaan kerana kebanyakkan kemalangan yang berlaku adalah berpunca daripada faktor manusia. Semua orang tahu memandu namun tidak semua mematuhi undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Ariffin berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 anak muda memanfaatkan kemudahan program MyLesen di Kelantan pada tahun ini.

“Untuk menangani masalah pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen ini, ibubapa juga perlu memainkan peranan masing-masing. Mereka perlu memastikan anak-anak yang memiliki lesen sahaja menunggang motosikal.

“Selain itu, kita juga sentiasa berkongsi maklumat dan program-program yang dilaksanakan JPJ bersama pelajar-pelajar sekolah melalui Kadet JPJ yang telah diperkenalkan di sekolah dan ia akan diperluaskan pada tahun ini,” katanya. – 26 Mac 2016.