Proton: Tepuk Dada Tanya Selera

Kereta Proton sememangnya dekat di hati rakyat Malaysia. Ia tidak boleh dinafikan. Majoriti daripada kita pernah atau masih memiliki kereta Proton malah, pelbagai pengalaman manis atau pahit mengenainya sentiasa menjadi kenangan sejak lebih 20 tahun jenama itu dikeluarkan.

Walaupun Proton menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, namun pada waktu yang sama – sama ada di dalam sedar atau di luar sedar – kebanggaan itu gagal melahirkan kesetiaan kepada jenama Proton atau brand loyalty.

Tidak perlu dinafikan, jauh disudut hati kita, ada terselit cita-cita untuk menggantikan Persona dan Preve kepada model kereta Toyota dan Honda, ataupun menukarkan Perdana lama kepada BMW atau Audi.

Pada Ogos 2012 lalu, Parti Pakatan Rakyat memulakan kempen untuk menurunkan harga kereta dalam pasaran tempatan. Kempen ini berterusan sehingga PRU 13.
Ramai yang teruja dan membayangkan untuk menukar kereta, termasuk untuk ‘upgrade’ kereta Proton mereka kepada kereta import.

Ada sahaja peluang, kita memilih untuk tukar kepada kereta import.

Itu hak masing-masing. Kalau ada kemampuan dan kalau kita fikir itu baik untuk kita dan keluarga kita, apa salahnya.

Bagaimanapun, apabila Kerajaan mendedahkan kedudukan tidak sihat yang telah lama membelenggui Proton, secara tiba-tiba Kerajaan di kecam dan pembelaan terhadap Proton membuak-buak.

Alangkah baiknya jika minat untuk membeli kereta Proton turut kembali membuak-buak pada skala yang sama.

Tetapi adakah dalam seminggu dua ini, kadar penjualan kereta Proton meningkat dari biasa?

Adakah jumlah kereta import terpakai dalam pasaran kita meningkat kerana ramai pengguna menjual kereta Honda dan Toyota dan lain-lain untuk membeli Preve, Suprima S dan Iriz?

Jika sentimen positif ini diterjemahkan kepada minat untuk membeli kereta Proton, rasanya Proton sudah tentu tidak berdepan dengan masalah untuk memasarkan model-model kereta mereka dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, adalah dirasakan sehebat mana kebanggaan dan sokongan rakyat Malaysia kepada Proton, ia tidak akan melihat lonjakan di dalam tempahan dan jualan kereta itu.

Mengapa? Tepuk dada tanya selera. Jawapannya ada di dalam diri setiap individu yang pernah dan sedang memiliki kereta keluaran Proton. – 8 April 2016.