CEO Asing Untuk Proton

Sergio Marchionne adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fiat Chrysler Automobiles.

Beliau diiktiraf sebagai eksekutif terkemuka dalam industri automotif yang telah berjaya memulihkan Fiat Group, suatu ketika dahulu berada di ambang kemuflisan.

Selepas mengambil alih teraju syarikat yang bermasalah itu, dalam tempoh kurang dari dua tahun beliau telah berjaya mencipta keuntungan sekaligus menyelamatkan keadaan syarikat yang hampir terkubur itu.
Pada tahun 2009, Marchionne memainkan peranan penting dalam membentuk pakatan strategik antara Fiat Group dengan syarikat pembuat kereta bermasalah Amerika Syarikat, Chrysler.

Beliau juga mengambil alih teraju kepimpinan Chrysler, dan dalam tempoh kurang dari dua tahun setelah keluar dari muflis, Chrysler telah berjaya membuat keuntungan dan menyelesaikan semua hutang-hutangnya dengan Kerajaan.

Pada tahun 2014, Fiat dan Chrysler bergabung menjadi sebuah syarikat induk baru, Fiat Chrysler Automobiles, dan kini pengeluar kereta ketujuh terbesar di dunia.

Fiat Chrysler Automobiles mengeluarkan Alfa Romeo, Fiat, Ferrari, Maserati, Lancia dan Chrysler, Jeep, Dodge, Ram.

Sergio Marchionne membuktikan, walaupun tidak berpengalaman dalam bidang kejuruteraan automotif namun ia bukan penghalang untuk menerajui syarikat pengeluar kereta ke arah keuntungan.

Begitu juga dengan Carlos Ghosn seorang ahli perniagaan Perancis, Lebanon dan Brazil. Beliau memperkenalkan pendekatan radikal yang berjaya memulihkan Renault pada akhir 90-an.

Ghosn juga individu yang telah membawa Nissan keluar dari ambang kemuflisan pada awal tahun 2000 menerusi tindakan ‘downsizing’ yang aggresif.

Sehingga kini Ghosn adalah Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Renault dari Perancis, Nissan dari Jepun dan AvtoVAZ dari Russia.

Sergio Marchionne dan Ghosn telah membuktikan bahawa usaha pemulihan syarikat automotif bukanlah satu usaha yang mustahil. Apa yang perlu ialah eksekutif yang mempunyai keupayaan tinggi, kemahiran dalam penstrukturan semula, berpengalaman dalam merundingan pakatan strategik dan berani mengambil pendekatan yang radikal.

Dan tidak dapat dinafikan dalam industri automotif negara kita khususnya Proton, itulah juga yang diperlukan.

Pemilik Proton dan masyarakat mesti berfikiran terbuka dan bersedia dengan segala kemungkinan jika benar-benar serius mahu melihat Proton bangkit semula sebagai sebuah syarikat pengeluar kenderaan nasional yang menjadi kebanggaan ramai.

Maknanya, kita juga perlu bersedia untuk menerima segala pelan tindakan termasuklah menerima CEO bangsa asing untuk Proton. – 25 April 2016.